Lelaki mati tergantung selepas tikam isteri, mertua

Iklan
Mohd Zaid Hassan - Foto Bernama

KAJANG – Seorang lelaki ditemui mati tergantung di dalam sebuah bilik di sebuah rumah di Bangi, di sini, semalam, dipercayai selepas menikam isteri dan bapa mertuanya.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, sebelum kejadian, pihaknya menerima laporan berkaitan kes perselisihan faham pasangan suami isteri berusia lingkungan awal 40-an, pada jam 12.03 tengah malam.

Iklan
Iklan

"Mangsa (isteri) mendakwa telah dipukul dengan kayu oleh suspek (suaminya) di bahagian belakang badan serta ditumbuk di kepala dan perut. Punca kejadian dipercayai isu kewangan,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, selepas laporan dibuat, mangsa bersama bapanya dan suspek menaiki kereta pulang ke rumah bagi mengambil dokumen untuk mendapatkan rawatan di hospital.

Iklan

"Kedua-duanya cuba menyelesaikan masalah secara damai. Mangsa dan suspek dalam keadaan tenang dan tiada apa-apa pergaduhan selepas keluar dari balai. Suspek juga tidak menunjukkan apa-apa tindakan agresif," katanya.

Beliau berkata, selepas tiba di rumah, suspek tiba-tiba terus berlari masuk ke dalam rumah dan mengambil pisau lalu bertindak menikam mangsa dan bapa mertuanya.

Iklan

"Sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang telah bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan. Kita mendapati pintu rumah dalam keadaan berkunci.

"Kita terpaksa memecah masuk ke dalam rumah itu, mayat suspek didapati dalam keadaan tergantung menggunakan kain cadar yang diikat pada kipas siling di bilik tingkat bawah rumah berkenaan,” katanya.

Mohd Zaid memaklumkan pihaknya telah menghubungi ambulan untuk menghantar mangsa bersama bapanya berusia 64 tahun ke Hospital Serdang bagi menjalani rawatan. Mereka dilaporkan dalam keadaan stabil.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera dengan senjata manakala kematian suspek diklasifikasikan sebagai mati mengejut.