Bicara kes Najib, Rosmah ditetapkan pada 13 Mei dan 9 Jun

Iklan
Najib dan Rosmah.

KUALA LUMPUR - Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dijangka kembali ke mahkamah pada Jun dan Julai untuk menyambung perbicaraan kes rasuah membabitkan pembekalan dan pemasangan sistem tenaga solar di 369 sekolah di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Perbicaraan yang dijadual bersambung semalam dan hari ini di Mahkamah Tinggi, di sini telah dilapangkan berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Bagi perbicaraan kes jenayah, tertuduh wajib hadir ke mahkamah untuk mengikuti prosiding.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib berkata, perbicaraan kes terbabit dijadual semula pada Jun dan Julai.

Iklan

"Mahkamah telah menetapkan 9 hingga 11 Jun, 6 hingga 9 Julai, 13 hingga 16 Julai dan 20 hingga 23 Julai untuk menyambung perbicaraan,” katanya kepada Bernama menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.

Pihak pembelaan akan meneruskan dengan pemeriksaan balas terhadap saksi ke-12, bekas ketua setiausaha Kementerian Pendidikan (MOE), Datuk Seri Alias Ahmad apabila perbicaraan disambung di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Iklan

Rosmah, 68, isteri kepada Datuk Seri Najib Tun Razak berhadapan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan projek bernilai RM1.25 bilion itu.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra di sini di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 hingga 7 September 2017.

Rosmah juga berhadapan 12 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Kes itu ditetapkan untuk perbicaraan pada Mei.

Sementara itu, perbicaraan ke atas Najib yang menghadapi pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditangguhkan kepada 13 Mei.

Ahmad Akram berkata, perbicaraan itu sepatutnya berlangsung, semalam (29 April) di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah.

Mahkamah sebelum ini menetapkan perbicaraan kes 1MDB pada 2 hingga 13, 19 hingga 20, 23 hingga 27 dan 30 hingga 31 Mac,1 hingga 30 April dan Mei iaitu pada 4 hingga 8 dan 11 hingga 22 termasuk hari Jumaat.

Tarikh lain perbicaraan yang ditetapkan adalah pada sepanjang bulan Jun, Julai, Ogos, September dan Oktober, termasuk Jumaat.

Apabila perbicaraan itu bersambung semula, pasukan pembelaan diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dijangka meneruskan pemeriksaan balas ke atas saksi kesembilan pihak pendakwaan, bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi yang telah memberi keterangan sejak 23 September tahun lepas.

Najib, 67, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana daripada 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. - Bernama