KLANG - Seorang pesara diarah menjalani perintah khidmat masyarakat selama dua bulan manakala menantunya didenda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas kesalahan melanggar perintah kuarantin ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Kedua-dua tertuduh, Misri Parlan, 66, dan AD Safian Mohd Dimyati, 37, membuat pengakuan salah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Roszianayati Ahmad.
Mahkamah juga menetapkan lapan bulan penjara jika AD Safian Mohd Dimyati gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan pada 9 April jam 6.20 petang, kedua-kedua tertuduh yang berada Kampung Bukit Kapar, Selangor telah didapati ingkar perintah pengawasan dan pemerhatian bagi Kontak Jangkitan koronavirus (Covid-19) mengikut Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] dengan tidak berada di rumah.
Kesalahan itu dilakukan ketika pemeriksaan polis dijalankan sedangkan kedua-dua tertuduh telah diperintahkan untuk berada di bawah pengawasan dan pemerhatian di alamat berkenaan selama 14 hari dari 8 April sehingga 22 April lalu.
Oleh itu, kedua-duanya telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 24 akta yang sama dan jika sabit kesalahan kali pertama, kedua-dua tertuduh boleh penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Nicholas Cheoh memohon hukuman rendah terhadap AD Safian yang tidak bekerja ekoran hilang pekerjaan sebagai buruh sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan merupakan penanggung tunggal keluarga yang menyara isteri orang kurang upaya dan seorang anak.
Nicholas turut memohon mahkamah meringankan hukuman terhadap anak guamnya yang merupakan pesara kerajaan dan mempunyai tujuh anak.
Menurut Nicholas, anak guamnya itu juga merupakan pesakit kencing manis dan darah tinggi dan telah mengaku salah serta insaf atas perbuatannya, selain memohon maaf pada mahkamah dan mengambil kira tertuduh pertama kali melakukan kesalahan itu.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Abdul Raoff memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap kedua-dua tertuduh kerana melanggar perintah kuarantin dan perbuatan tertuduh boleh merebakkan penyakit kepada orang sekeliling serta sebagai pengajaran.
Hakim Roszianayati memandang serius perbuatan kedua-dua tertuduh turut menasihatkan mereka menjalani hukuman itu sebagai pengajaran terhadap kesalahan dilakukan oleh mereka.