'Datuk' pakar curi kenderaan mewah

Iklan
Baeyah (tengah) menunjukkan peralatan mencanai nombor casis yang digunakan sindiket berkenaan.

NIBONG TEBAL- Menggunakan peralatan berteknologi tinggi untuk melakukan jenayah curi kenderaan mewah.

Namun tindakan licik dua lelaki termasuk seorang yang menggunakan gelaran datuk palsu berjaya dibongkar polis selepas mereka ditahan dalam sekatan jalan raya berhampiran Plaza Tol Jawi, di sini, 19 April lalu.

Iklan
Iklan

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Deputi Superintendan Baeyah Abdul Wahab berkata, dua lelaki berkenaan berusia 27 dan 30 tahun itu dipercayai aktif melakukan jenayah curi kenderaan mewah di Pulau Pinang, Selangor dan Johor sejak awal tahun ini.

Menurutnya, ketika ditahan mereka menaiki kereta jenis Toyota Velfire dan mahu ke Kuala Lumpur atas urusan kerja namun pemeriksaan yang dilakukan di dalam kenderaan menemui pelbagai peralatan mencuri kenderaan selain sepucuk pistol tiruan di bawah tempat duduk pemandu.

Iklan

"Pemeriksaan dilakukan mendapati kenderaan berkenaan juga dipasang lambang Jata Negeri Pahang pada nombor plat dan pemandu berusia 27 tahun mengaku dia sebagai datuk namun pemeriksaan mendapati gelaran tersebut palsu.

"Pemeriksaan lanjut yang dilakukan terhadap barang yang dirampas mendapati peralatan yang digunakan berteknologi tinggi yang mampu mencuri kenderaan mewah termasuk 'jammer' yang mana peralatan tersebut mampu membantu mereka untuk mencuri kereta dalam masa lima minit sahaja," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Iklan
Baeyah (kiri) menunjukkan pistol tiruan yang dirampas.

Susulan daripada tangkapan itu, Baeyah berkata pihaknya menyerbu sebuah rumah di Tanjung Piandang dan merampas pelbagai peralatan mereka gunakan untuk jalankan kegiatan curi kenderaan antaranya komputer riba, alat membuat nombor casis serta dokumen untuk jual kereta mewah.

Katanya, rumah lelaki kononnya bergelar datuk itu dijadikan tempat menyimpan kereta mewah yang dicuri sebelum dijual dalam pasaran tempatan.

"Sindiket ini juga mempunyai kepakaran untuk mencanai serta membuat semula nombor casis kenderaan yang dicuri selain memalsukan dokumen untuk dijual termasuk bagi insuran serta cukai jalan.

"Dalam serbuan itu, kita merampas dua buah kereta mewah termasuk Toyota Velfire digunakan mereka semasa ditahan kerana ia kenderaan curi di negeri ini dan siasatan mendapati geng tersebut terlibat sekurang-kurangnya tiga kes curi kenderaan mewah di Pulau Pinang,"katanya.

Baeyah berkata, semakan yang dibuat mendapati suspek berusia 30 tahun mempunyai enam rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala rakannya positif dadah.

Katanya, mereka kini direman untuk siasatan lanjut termasuk kes menggunakan gelaran datuk palsu dari Pahang.

Polis kini sedang mengesan tiga lagi suspek berusia 30-an yang dipercayai terlibat dengan sindiket berkenaan.