KOTA BHARU - Perkhidmatan bengkel kenderaan, dobi, perniagaan barangan logam (hardware) akan dibenarkan kembali beroperasi dalam masa terdekat berikutan negeri ini kini berada dalam zon hijau bebas wabak koronavirus (Covid-19).
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, kebenaran tersebut akan diberikan kepada mana-mana pengusaha yang membuat permohonan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan mendapat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Menurutnya, premis yang dibenarkan beroperasi itu perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan yang diberikan oleh PBT.
"Sekarang sudah masuk peringkat keempat dan kita beri kelonggaran beberapa sektor untuk bergerak sebagai contohnya 'hardware', 'DIY' dan sebagainya.
"Dobi pula kita hanya benarkan kepada dobi yang ada pekerja sahaja. Layan diri tidak boleh," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini hari ini.
Menurutnya, kerajaan negeri telah menerima lebih 200 permohonan dalam talian daripada premis- premis tiga sektor itu untuk kembali beroperasi sebelum ini.
Bagaimanapun katanya, pihaknya terpaksa menangguhkan sementara kelulusan beroperasi tersebut bagi melihat situasi semasa walaupun tiga sektor berkenaan di negeri lain telah dibenarkan beroperasi.
Sementara itu dalam perkembangan sama, Mohd Amar berkata, kerajaan negeri akan menunggu keputusan kerajaan Persekutuan melibatkan kebenaran menunaikan solat tarawih dan solat Jumaat selepas ini.
Beliau juga memberitahu lebih 90 pelajar Kelantan yang menuntut di Riau kini dikuarantin di Johor Bharu, manakala pelajar dari Mesir pula kini dikuarantin di Kuala Lumpur.