MSN kecewa tuduhan atlet terhadap menteri

Iklan

MAJLIS Sukan Negara (MSN) kecewa dengan tuduhan atlet lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin terhadap Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan menganggapnya sebagai satu tuduhan melulu dan tidak sesuai dikeluarkan oleh seorang atlet kebangsaan.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dalam satu kenyataan hari ini berkata, sebarang keputusan berkaitan tuduhan Muhammad Irfan bukan hadir daripada arahan atau pandangan menteri berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tuduhan Muhammad Irfan berkait rapat dengan keputusan Jawatankuasa Kerja Sukan Olahraga yang bermesyuarat pada Selasa lepas yang turut dihadiri Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim dan ketua jurulatih olahraga, Zainal Abas serta wakil dari Institut Sukan Negara (ISN) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

"Mengenai dakwaan (Muhammad) Irfan bahawa KBS/MSN/KOM telah menamatkan kontrak jurulatih peribadi beliau, Frantisek Petrovic, dakwaan ini tidak benar,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, berdasarkan prestasi Muhammad Irfan pada Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun lalu, MSN tidak menawarkan kontrak baharu kepada Petrovic.

Semalam, Muhammad Irfan, 23, memuat naik status di laman Instagram dengan mendakwa Syed Saddiq melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah menamatkan kontrak Petrovic dan menolak permohonan untuk berlatih sendiri di luar negara.

Iklan

Mengenai dakwaan penolakan permohonan Muhammad Irfan untuk membiayai program latihan di Republik Czech dan Turki selama 85 hari bermula dari 23 Januari hingga 17 April tahun ini, Ahmad Shapawi berkata pekara itu turut dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja berkenaan.

"Jawatankuasa Kerja telah mengambil kira pandangan KOM supaya cadangan (Muhammad) Irfan untuk berlatih di luar negara pada ketika ini adalah musim sejuk perlu diteliti dan dibincangkan semula dengan ketua jurulatih olahraga kebangsaan khususnya mengenai beberapa aspek.

"Jawatankuasa Kerja telah memutuskan untuk KOM khususnya Datuk Karim Ibrahim bersama Ketua Jurulatih Olahraga Kebangsaan mengadakan perbincangan lanjut dengan Irfan. Saya sendiri telah menghantar pesanan ringkas kepada Irfan," katanya.

Malangnya, menurut Ahmad Shapawi, sebelum perbincangan bermula Muhammad Irfan telah membuat tuduhan tersebut dan lebih mengecewakan ia ditujukan kepada Syed Saddiq yang telah berusaha mendapatkan peruntukan untuk pembangunan sukan negara.

Sementara itu, Karim, dalam kenyataan berasingan, turut meluahkan rasa kesal dengan tindakan Muhammad Irfan dan senada dengan MSN bahawa kerjasama itu memerlukan beberapa keputusan bersama dibuat dalam usaha merealisasikan cita-cita atlet olahraga negara akan dapat dikecapi.

Beliau menjelaskan bahawa permohonan untuk berlatih di Republik Czech pada ketika ini adalah tidak praktikal selain kekurangan maklumat tentang tempat dan kepakaran latihan yang ada di negara itu.

Justeru, beliau berharap Muhammad Irfan menarik balik semula tuduhannya itu.

Beliau berharap atlet berkenaan bersabar bagi setiap yang dikehendakinya kerana sebarang keputusan perlu dibuat secara kolektif dengan pemegang taruh yang lain.

Katanya, KOM memohon maaf dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas tindakan atlet tersebut. - Bernama