Erti Hari Pekerja tahun 2020

Iklan
Gambar hiasan -Foto 123rf

TARIKH 1 Mei hari ini merupakan hari bagi menghargai sumbangan individu yang bernama pekerja di seluruh dunia tidak kira yang bekerja dalam sektor awam, swasta mahupun yang bekerja sendiri.

Bagaimanapun, tarikh tersebut tahun ini dirasakan cukup berbeza dan suram akibat pandemik Covid-19 yang menyaksikan hampir puluhan juta pekerja di seluruh dunia hilang sumber pendapatan sejak wabak tersebut mula mengganas awal tahun ini.

Iklan
Iklan

Impak Covid-19 menyebabkan struktur ekonomi dunia mengalami keadaan kejutan dan ketidakpastian selain aktiviti ekonomi yang terganggu sekali gus menyebabkan banyak syarikat kecil mahupun besar terpaksa mengurangkan kos operasi mereka.

Kesannya dirasai pekerja. Ada di antaranya diberhentikan kerja, terpaksa cuti tanpa gaji ataupun terpaksa menerima potongan gaji, malah bagi yang bekerja sendiri, sudah tentu mereka kehilangan sumber pendapatan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Iklan

Malaysia tidak terkecuali menerima tempias dengan data kajian yang dibuat oleh Jabatan Perangkaan Malaysia mendedahkan 78,372 daripada 168,182 responden yang mengambil bahagian dalam kajian khas tersebut hilang pekerjaan sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

Malah, sembilan daripada 10 responden yang masih bekerja juga mengakui mengalami pengurangan pendapatan daripada biasa. Sektor pertanian dan perkhidmatan merekodkan peratusan kehilangan pekerjaan lebih tinggi berbanding sektor lain.Hilang kerja

Iklan

Angka tersebut sebenarnya lebih tinggi dengan mengambil kira kebarangkalian kes yang tidak dilaporkan selain tiada data mereka yang bekerja sendiri membuktikan betapa seriusnya masalah kehilangan pekerjaan pada ketika ini.

Nasib pekerja adalah lebih membimbangkan sekiranya rantaian Covid-19 ini gagal diputuskan dan Malaysia terus melanjutkan PKP untuk tempoh tiga hingga enam bulan lagi. Ini bakal terus melemahkan ekonomi negara.

Dapatan tinjauan Malaysian Global Innovation and Creativity Centre (MaGIC) juga menyokong kemungkinan tersebut dan meramalkan lebih kurang 40 peratus syarikat Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) akan berhenti beroperasi jika rantaian Covid-19 berlanjutan dalam tempoh tersebut.

Jumlah 40 peratus syarikat itu bukanlah angka yang sedikit apatah lagi dengan PKS yang merupakan penyumbang lebih dua pertiga daripada jumlah pekerjaan di negara ini.

Situasi selepas PKP juga dilihat lebih mencabar dalam usaha kerajaan untuk kembali memulihkan ekonomi negara dan dalam masa sama untuk menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk.

Ia dijangka mengambil masa yang lama untuk pulih seperti sediakala. Dalam erti kata lain negara akan berdepan masalah ekonomi dan lebih ramai yang dijangka bakal hilang kerja.

Dalam keadaan kritikal sebegitu, harapan sudah tentu disandarkan kepada kerajaan untuk membantu rakyat yang terkesan dengan menyediakan pakej rangsangan ekonomi pasca-PKP yang memberikan lebih tunai dalam tangan masyarakat selain membantu perusahaan yang terjejas.

Tiada siapa yang menyangka wabak Covid-19 yang hanya bermula di Wuhan, China kemudiannya mampu merebak ke seluruh dunia sehingga memberikan impak yang tidak terjangkau dek akal fikiran kita.

Kisah seorang lelaki yang berjalan kaki pulang ke Kelantan selepas hilang pekerjaan dan banyak lagi berita kesusahan rakyat dalam mengharungi kehidupan tatkala Covid-19 menyerang benar-benar mengusik emosi setiap orang.

Sayu untuk melihat serta membayangkan situasi seseorang kehilangan kerja dan dalam masa sama mempunyai tanggungan anak-anak yang masih kecil. Tanpa pendapatan di mana mereka hendak cari wang membeli makanan untuk menyuap mulut setiap ahli keluarga.

Justeru, apakah erti Hari Pekerja untuk kita tahun ini? Harapannya agar bulan-bulan akan datang memberikan dimensi yang lebih baik serta wabak Covid-19 akan segera berlalu pergi demi kebaikan penduduk seluruh dunia.