20 ahli keluarga solat tarawih berjemaah di rumah

Iklan
Keluarga Roslina menunaikan solat berjemaah bersama-sama sejak penguatkuasaan PKP.

KEMAMAN - Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan kerajaan bukan alasan untuk tidak dapat menunaikan solat tarawih pada bulan Ramadan.

Bahkan tempoh 'duduk diam-diam di rumah' memberi peluang untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan melalui aktiviti keagamaan seperti dilakukan sebuah keluarga di Felda Neram 2 di sini.

Iklan
Iklan

Wakil keluarga, Roslina Yusof, 39 berkata, aktiviti solat secara berjemaah mula dilakukan sebelum kerajaan mengumumkan penguatkuasaan PKP fasa satu bagi mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Katanya, ketika itu, mereka sekeluarga telah berada di kediaman ibu bapanya (Rahani Hamat, 64 dan Yusof Sulaiman, 66) ketika musim cuti persekolahan pada Mac lalu.

Iklan

"Sebelum ini abah hanya jemaah di Surau Al-Falah di sini.

"Setiap kali tibanya Ramadan, kami anak beranak akan ikut dia bersama emak ke surau untuk menunaikan solat tarawih.

Iklan
Sebahagian daripada ahli keluarga itu mengimarahkan Ramadan dengan tadarus al-Quran.

"Tahun ini suasana itu tidak dapat dinikmati, namun Abah tidak putus asa. Saya lihat abah menelaah buku-buku panduan untuk menjadi imam di rumah. Abah macam dah tahu yang dia kena uruskan anak cucu untuk solat tarawih berjemaah.

"Alhamdulillah, syukur sangat kami sekeluarga termasuk ipar duai dan sepupu-sepapat dapat berkumpul bersama-sama untuk menunaikan solat tarawih dan solat fardu lima waktu secara berjemaah," katanya.

Roslina mempunyai 10 adik beradik terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga perempuan serta mempunyai hampir 20 orang anak saudara lelaki dan perempuan.

Katanya, walaupun Ramadan kali ini disambut sederhana, kemeriahan itu tetap ada bagi mereka sekeluarga.

Selain dapat menunaikan solat tarawih bersama, katanya, mereka sekeluarga juga dapat melakukan tadarus al-Quran.

"Dua fasa PKP lalu, ada yang kelapangan telah khatam tujuh juzuk al-Quran dan kini masih lagi sama-sama bertadarus sepanjang Ramadan ini.

"Saya bersyukur sangat kerana seluruh ahli keluarga terdekat dapat berkumpul untuk beribadah bersama.

"Ini adalah saat indah dalam kehidupan yang akan sentiasa diingati," katanya.