NILAI - Seramai 2,000 pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan IPTS pulang ke kampung halaman masing-masing malam ini membabitkan pergerakan ke zon Sarawak, Perak, timur dan selatan, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad.
Beliau yang hadir menyaksikan kepulangan 115 pelajar di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini ke zon selatan membabitkan Negeri Sembilan, Melaka dam Johor berkata, pergerakan itu membabitkan pergerakan dalaman zon berkenaan.
"Sarawak dengan Sarawak akan bergerak malam ini, timur dengan timur dan Perak dengan Perak. Pergerakan itu kita buat serentak pada waktu malam," katanya kepada pemberita di sini.
Selain USIM yang menjadi antara tempat pelepasan pulang pelajar, terdapat banyak lagi tempat pelepasan lain antaranya Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Johor dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM).
Pergerakan pelajar pulang ke kampung halaman masing-masing memasuki hari keempat hari ini selepas yang pertama pada 27 April lepas manakala esok adalah pergerakan pulang pelajar dari Semenanjung ke Sarawak serta Sarawak ke Semenanjung.
Kaedah penghantaran pulang pelajar ini dilakukan supaya teratur dan berancang dan setiap zon mempunyai penyelaras dengan bantuan dari semua universiti membabitkan IPTS dan IPTA.
Mengenai perkara yang tidak dapat dilupakan ketika proses berkenaan, Noraini berkata, beliau menyaksikan terdapat seorang pelajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menggigil menahan sebak kerana gembira dapat bertemu ibu bapanya.
"Itu yang kita terharu dan saya seorang ibu dan saya juga merasakan bahawa ini masa yang tepat dan saya nak ucap terima kasih kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana membenarkan pelajar ini bergerak pulang ke kampung masing-masing," katanya.- Bernama