MELAKA TENGAH - Padah menarik rambut dan memukul bekas isteri, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Tertuduh, S.Sathiya, 35, membuat pengakuan bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd. Nazrin Abdul Rahim.
Berdasarkan pertuduhan, Sathiya didapati dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap bekas isterinya N. Siva Sangari, 33, dengan cara memukul wanita itu menggunakan tangan di bahagian kepala termasuk menarik rambut.
Tindakan itu dilakukan tertuduh kira-kira jam 9 malam di sebuah rumah pangsa Sri Siantan di sini, 21 November lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun Sathiya yang tidak diwakili peguam merayu supaya hukuman penjara terhadapnya diringankan dengan alasan perlu menanggung seorang anak berusia enam bulan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Liyana Zainal Abidin memohon hukuman setimpal dikenakan dengan mengambil kira faktor kecederaan yang dialami mangsa.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Mohd Nazrin memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan bermula dari tarikh ditangkap iaitu pada 29 November lalu.