LEGENDA Manchester United, Andy Cole mahu Liverpool dinobatkan sebagai juara Liga Perdana Inggeris sekiranya liga terpaksa dibatalkan akibat wabak koronavirus (Covid-19).
Menurutnya, The Reds layak dinobatkan sebagai juara berdasarkan perbezaan mata yang ketara antara Manchester City yang berada di kedudukan kedua liga.
"Walaupun saya bekas pemain United, saya tidak boleh berat sebelah. Jika United berada di situasi ini dan tidak dinobatkan sebagai juara tentu saya kecewa.
"Liverpool mempunyai hak untuk bergelar juara dan tiada pasukan lain yang boleh menewaskan atau menandingi mereka walaupun liga bersambung," katanya.
Saingan EPL masih ditangguhkan akibat wabak Covid-19 dan tidak ada tarikh tepat bila ia akan disambung semula.
Liverpool ketika ini berada 25 mata di hadapan City di kedudukan kedua liga dan hanya memerlukan dua lagi kemenangan untuk menamatkan penantian 30 tahun menjulang trofi EPL.
Sementara itu, pemain pertahanan Chelsea, Antonio Ruediger menyarankan agar liga dibatalkan memandangkan wabak Covid-19 belum pulih sepenuhnya.
Sama seperti Cole, Ruediger turut berpendapat Liverpool layak dinobatkan sebagai juara liga.
"Sejujurnya apa yang saya fikirkan ialah mereka perlu memberikan kejuaraan EPL kepada Liverpool. The Reds memiliki musim yang hebat dan menjadi pendahulu liga dengan perbezaan mata yang banyak.
"Saya mengharapkan musim ini akan segera selesai memandangkan situasi sekarang amat berbahaya. Semua orang sedang berwaspada, tetapi kita di industri bola sepak ini mahu meneruskan perlawanan. Saya tak rasa ia sesuai," katanya.