IPOH - Pengalaman bekerja sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) merupakan sesuatu yang berharga buat petugas di barisan hadapan bukan kesihatan.
Bagi Ketua Penolong Pegawai Daerah Ipoh, Mufidah Mahfodz berkata, bertugas ketika PKP sesuatu yang luar biasa dilakukan oleh penjawat awam kerana situasi amat berbeza dengan tugas-tugas biasa.
Menurutnya, semua petugas berdepan dengan ancaman yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan perlu berhati-hati untuk bertemu dengan orang ramai.
"Ini pengalaman pertama saya bertugas ketika berpuasa dan berbuka tanpa bersama keluarga. Alhamdulillah, suami dan anak-anak sangat memahami tugas yang saya galas ketika PKP ini.
"Sebenarnya berdebar juga bertugas ketika PKP tapi sebagai petugas barisan hadapan, kami tanamkan dalam hati untuk jalankan amanah sebaik mungkin demi negara," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pusat Penempatan Gelandangan (PPG) di Arena Badminton Perak di sini baru-baru ini.
Menurutnya, biarpun tugasan sepanjang tempoh PKP mencabar tambahan pula pada bulan Ramadan, pengalaman tersebut tentunya tidak diperoleh semua orang.
Beliau yang baharu setahun berkhidmat di Pejabat Daerah dan Tanah Ipoh berkata, pengalaman menguruskan golongan gelandangan sesuatu yang amat berharga.
Jelasnya, banyak perkara yang dipelajari tentang golongan tersebut kerana setiap mereka mempunyai kisah berbeza.
Sementara itu, bagi Kapten Bersekutu (PA) Nor Azizi Saad, 40, beliau secara sukarela menawarkan diri untuk bertugas membantu Angkatan Pertahanan Awam (APM) Perak.
Beliau berkata, keputusan untuk menjadi sukarelawan itu telah dimaklumkan kepada keluarga kerana tindakan itu sedikit sebanyak membawa perubahan rutin harian ketika bulan Ramadan seperti sebelum ini.
Katanya, tindakan itu juga merupakan salah satu sumbangan kepada negara dan organisasi APM.
"Pengalaman bertugas ketika bulan Ramadan ini memang sesuatu mencabar namun ini pilihan saya membantu APM sebagai petugas barisan hadapan.
"Ini merupakan pengorbanan saya kepada negara dan semoga usaha yang saya lakukan ini mendapat rahmat daripada ALLAH kepada diri sendiri dan keluarga," katanya.
Mufidah dan Nor Azizi merupakan antara petugas di PPG Ipoh yang ditugaskan menguruskan tempat tinggal sementara untuk golongan gelandangan sepanjang tempoh PKP bagi mengelak kewujudan kluster baharu Covid-19 daripada golongan tersebut.
Kesemua petugas di PPG tersebut berkhidmat selama 24 jam secara bergilir mengikut syif ditetapkan membabitkan agensi seperti Pejabat Daerah dan Tanah Kinta, APM, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Agama Islam Daerah Kinta dan beberapa agensi lain.