SHAH ALAM - Tindakan Bank Negara Malaysia (BNM) melakukan perubahan berkaitan moratorium pembayaran balik pinjaman tidak adil kepada pengguna.
Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr Jacob George berkata, keputusan itu juga bercanggah pengumuman kerajaan sebelum ini yang bertujuan meringankan beban rakyat yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, sebelum ini kerajaan memberi keterangan telus dan pelanggan perbankan tidak akan menjadi sasaran ketika negara berdepan dengan PKP.
"Jadi untuk BNM menukarkan dan memperjuangkan syarat baharu tidak adil malah cara pengumuman itu dibuat juga menyebabkan mereka yang terkesan semakin panik dan tertekan,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: BNM perjelas kekeliruan berhubung moratorium
Mengulas lanjut, Dr Jacob berkata, pihaknya juga ada menerima aduan daripada pengguna bahawa mereka gagal mendapatkan penjelasan daripada BNM dan pihak perbankan lain berhubung pengumuman baharu itu.
Katanya, panggilan yang dibuat oleh pengguna langsung tidak dijawab sekali gus menimbulkan kerisauan dan kebimbangan dalam kalangan mereka.
"Pengguna kini berdepan pelbagai masalah selepas BNM cuba menukar prosedur operasi standard (SOP) baharu tetapi mereka gagal mendapatkan penjelasan.
"Sehingga kini kerajaan pusat juga masih gagal mengeluarkan sebarang kenyataan yang mengatakan BNM perlu menjadi telus untuk melicinkan proses tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Jacob berkata, pengguna kini keliru dan bimbang sama ada mereka perlu membayar lebih banyak atau sebaliknya berdasarkan pemberian moratorium yang diumumkan sebelum ini.
"Selain itu, menteri berkaitan juga tidak mengeluarkan sebarang kenyataan baharu yang boleh membantu menangani kekeliruan rakyat ketika ini.
Justeru, kami merayu kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masuk campur supaya pihak BNM dan juga Kementerian Kewangan dapat mengeluarkan satu kenyataan yang betul-betul boleh diterima serta membuka ruang perbincangan jika ada sebarang masalah berbangkit.
"Melihat dari aspek perundangan juga, tindakan yang dibuat oleh BNM itu juga tidak adil berdasarkan maklum balas daripada semua sektor yang terkesan.
"Jadi kami kesal dengan tindakan BNM yang dianggap sebagai satu badan untuk yang boleh membantu rakyat kini dilihat seolah-olah mencemarkan lagi sungai yang sudah tercemar,” katanya.