KUALA LUMPUR - Sinaran cahaya biru menerangi tiga lokasi strategik di Istana Negara di waktu malam sebagai tanda menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan negara memerangi wabak koronavirus (Covid-19).
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan Istana Negara menyertai kempen 'Limpahan Lampu Biru' yang diadakan mulai 30 April sehingga 3 Mei dari 10.30 malam hingga 1 pagi melibatkan bangunan-bangunan ikonik di ibu negara.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta keluarga berkenan meluangkan masa selama 30 minit malam tadi berangkat menyaksikan penyalaan cahaya biru berkenaan di pekarangan Istana Negara.
Istana Negara mengambil bahagian dalam program yang diadakan serentak di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, dengan penyalaan cahaya biru di tiga lokasi di sekitar Istana Negara iaitu Dataran Kawad, Kubah Anjung Utama dan Pintu Gerbang Utama Istana Negara.
"Al-Sultan Abdullah telah berkenan dan menitahkan supaya pihak pengurusan Istana Negara menyertai kempen ini sebagai sokongan kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan tanda penghargaan dan terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang berjuang mengekang wabak COVID-19," kata Ahmad Fadil dalam satu kenyataan Istana Negara.
Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah menzahirkan penghargaan dan menyanjung tinggi pengorbanan semua petugas barisan hadapan yang menjalankan tugas tanpa mengira masa dan penat lelah.
Beliau berkata Seri Paduka menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua wira dan wirawati barisan hadapan atas komitmen dan ketabahan menjalankan tanggungjawab dalam membendung wabak Covid-19.
"Semua petugas barisan hadapan ini memerlukan sokongan daripada seluruh lapisan masyarakat kerana mereka telah bergadai nyawa menghadapi risiko dalam melakukan tugas mereka yang murni ini,” katanya.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja berkata Al-Sultan Abdullah menitahkan rakyat Malaysia untuk bersama-sama menghargai semua petugas barisan hadapan dengan mematuhi semua perintah dan garis panduan yang dikeluarkan oleh kerajaan agar wabak ini dapat dibendung dengan berkesan.
Seri Paduka menzahirkan harapan agar umat Islam dapat bersama-sama mengambil keberkatan bulan Ramadan yang mulia ini untuk berdoa semoga Malaysia terus dilindungi dan dirahmati serta wabak Covid-19 dapat diakhiri dengan segera, katanya.-Bernama