PELAKON terkenal dari seberang, Baim Wong meluahkan perasaan gembiranya apabila beliau dan isteri, Paula Verhoeven disebut dalam ciapan Twitter Ketua Pegawai Eksekutif YouTube, Susan Wojcicki sebagai individu berpengaruh bulan Ramadan.
Baim menerusi hantaran di Instagram menganggap ia sebagai satu penghargaan.
"Susan Wojcicki adalah Ketua Pegawai Eksekutif YouTube di seluruh dunia. Saya sangat gembira apabila nama saya dan isteri disenaraikan dalam ciapannya,” tulisnya.
Dia juga berkata, hanya lima orang di dunia disenaraikan dalam ciapan tersebut.
Sementara itu, Baim turut menjelaskan bahawa Gemas (Gerakan Memakai Masker) bukanlah wang peribadinya dan merupakan sumbangan daripada orang ramai.
"Mengenai Gemas untuk Indonesia, itu bukan wang peribadi saya namun itu adalah sumbangan daripada orang yang tidak mahu disebutkan namanya.
"Terima kasih di atas semua dedikasi yang telah dilakukan untuk Indonesia. Anda semua hebat, berita itu sampai ke seluruh dunia. Kita adalah keluarga, sentiasa,” jelasnya.
Para pengikut Baim juga pada masa sama mengucapkan tahniah kepadanya dengan meninggalkan komen pada hantaran berkenaan.
"Alhamdulillah. Semoga awak semakin berjaya,” komen Linaa Purnama.
"Bangga dengan anda,” komen pula Astari Pmaharani.
Hantaran berkenaan mendapat 101,920 tanda suka.