KUANTAN - Seramai 1,154 penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini yang terkandas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pulang ke kampung halaman masing-masing merentasi negeri bermula malam tadi.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni ) Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin berkata, pergerakan yang dilaksanakan beberapa fasa itu dikoordinasikan UMP.
Menurutnya, bagi kumpulan fasa pertama seramai 158 pelajar yang dihantar pulang memulakan pergerakan dari UMP Kuantan dan UMP Pekan, menggunakan 26 bas universiti itu serta bas yang disewa khas kira-kira jam 9.45 malam.
"Pergerakan itu adalah dari UMP ke semua daerah zon hijau di Pahang, Terengganu dan Kelantan.
"Kesemua penuntut yang dihantar melalui saringan kesihatan serta mengikuti prosedur operasi standard ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.
Bagaimanapun katanya, pelajar tidak dibenarkan pulang jika destinasi atau kampung halaman masih di bawah zon merah.
"UMP bertanggungjawab memastikan SOP dipatuhi serta memastikan bekalan makanan dan keperluan semasa perjalanan disediakan," katanya.
Sementara itu Ketua Polis Pahang, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, kesemua pelajar terlibat dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) terdekat dengan kediaman masing-masing di seluruh Pahang, Terengganu dan Kelantan sebelum diambil waris masing-masing.
"Destinasi yang dibenarkan pulang adalah daripada zon hijau ke hijau. PDRM bertanggungjawab memastikan pergerakan merentas negeri bagi menghantar pulang pelajar-pelajar ini berjalan dengan lancar dan selamat," katanya.