Bukit Aman pertimbang hantar anggota tambahan ke Pahang

Iklan
Abd Tahim (dua dari kiri) turut meluangkan masa berada di sekatan jalan raya di Tanjung Lumpur di sini bagi melawat anggota PDRM menjalankan Ops Covid-19.

KUANTAN - Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman mempertimbangkan untuk menghantar anggota tambahan ke negeri ini bagi memenuhi tugasan Op Covid-19 Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengarah Pengurusan PDRM Bukit Aman, Datuk Abd Rahim Jaafar berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan berlaku pertambahan anggota termasuk negeri lain susulan kelonggaran pergerakan di bawah PKPB.

Iklan
Iklan

Menurutnya, setakat ini lebih 1,000 anggota dan pegawai ditugaskan dari Bukit Aman ke seluruh negara termasuk negeri Pantai Timur, Sabah dan Sarawak.

"Terkini, kerajaan membenarkan kegiatan komersial dijalankan termasuk aktiviti harian sekali gus menjadikan tugas polis lebih mencabar bagi memastikan rakyat terus mematuhi penjarakan sosial.

Iklan

"Jika berlaku kekurangan kakitangan kemungkinan besar ada keperluan menghantar pegawai dan anggota dari Bukit Aman. Setakat ini kita menurunkan lebih 1,000 anggota dari Bukit Aman ke seluruh negara untuk membantu penugasan Op Covid-19 sejak PKP fasa dua," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di sekatan jalan raya (SJR) yang turut dihadiri Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan di Tanjung Lumpur di sini hari ini.

Abd Rahim ketika sidang media memberitahu pihaknya turut memantau motivasi petugas barisan hadapan PDRM di setiap negeri.

Iklan

Abd Rahim berkata, PDRM tetap bertegas kepada individu yang melanggar PKPB walaupun ada kelonggaran pergerakan.

Menurutnya, prosedur operasi standard (SOP) sekatan jalan raya juga akan dikaji semula bagi menyesuaikan dengan PKPB selain pemantauan berterusan supaya tiada yang mengambil kesempatan untuk bergerak antara negeri dan melakukan kesalahan lain.

"Apa yang ditekankan ialah penjarakan sosial dan kaedah pelaksanaan di restoran yang telah dibenarkan beroperasi," katanya.

Sebelum itu beliau turut meluangkan masa melawat Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pahang dan pusat kuarantin di negeri ini.