KUALA LUMPUR - Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menyarankan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) dipanggil untuk membuat penjelasan.
Perkara itu dijelaskan menerusi satu ciapan di Twitter miliknya hari ini.
"Gobenor BNM wajar dipanggil dan membuat penjelasan,” katanya.
Saranan Annuar itu dipercayai berkait dengan kenyataan BNM semalam berhubung moratorium penangguhan bayaran pinjaman sehingga Oktober 2020 sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.
[ARTIKEL BERKAITAN] - Tindakan BNM tidak adil kepada rakyat!
Di laman sosial, kecoh apabila ramai netizen tidak berpuas hati dengan kenyataan terbaharu isu moratorium yang dikeluarkan pihak BNM.
Rata-ratanya terkejut, tidak berpuas hati, menganggap kerajaan membuat pusingan semula kerana sebelum ini dinyatakan peminjam akan menerima tangguhan bayaran secara automatik dalam tempoh enam bulan berikutan penularan wabak pandemik Covid-19.
Bagaimanapun, menerusi kenyataan terbaharu malam tadi, peminjam perlu membuat permohonan jika bersetuju dengan penangguhan tersebut dan turut dinyatakan tentang kadar faedah yang perlu dibayar.
Melalui tinjauan di laman Facebook BNM, ribuan komen netizen melahirkan rasa tidak puas hati mengenai pengumuman berkenaan yang disifatkan sebagai mengelirukan peminjam.