LANSING - Penunjuk perasaan yang sebahagian besarnya membawa senjata api memasuki bangunan pentadbiran di Michigan, Amerika Syarikat (AS) semalam, bagi menuntut Gabenor Gretchen Whitmer menarik balik perintah lockdown di negeri itu.
Whitmer sebelum ini mengarahkan pelaksanaan perintah berkurung di Michigan sebagai usaha memperlahankan penularan Covid-19.
Polis terpaksa dikerah bagi mengawal keadaan dan menghalang penunjuk perasaan daripada memasuki ruang utama bangunan.
Tiada seorang pun daripada penunjuk perasaan memakai topeng muka selain mengabaikan penjarakan sosial.
Tunjuk perasaan itu yang digelar 'American Patriot Rally' dianjurkan oleh kumpulan militia Michigan United for Liberty yang dianggotai hampir 9,000 ahli.
Protes itu diadakan sehari selepas Mahkamah Michigan memutuskan bahawa perintah lockdown yang dikeluarkan Whitmer pada 24 Mac lalu tidak melanggar hak konstitusi penduduk.
[ARTIKEL BERKAITAN] - Penduduk AS protes langkah pencegahan Covid-19
Ini provokasi kedua dalam tempoh sebulan selepas protes pertama pada 16 April lalu tidak membuahkan hasil.
Sementara itu, rata-rata pengguna media sosial mengutuk tindakan kumpulan tersebut dan menyifatkan ia sebagai tindakan pengganas.
"Berpuluh lelaki bersenjata menyerbu bangunan capitol dan polis terpaksa menghalang mereka bagi melindungi Whitmer. Ini adalah Amerika era Trump," kata Rob Gill.
Sementara itu, Fred Guttenberg meminta pihak berkuasa supaya tidak mengamalkan sikap double standard kerana tindakan kumpulan itu jelas membahayakan nyawa orang lain.
Seorang lagi netizen, Khaled Beydon menulis,"Bayangkan apa yang akan terjadi sekiranya orang Muslim atau etnik Afrika-Amerika menyerbu bangunan kerajaan dengan membawa senjata api? Sudah tentu mereka digelar pengganas, hipokrit."
Difahamkan, perintah lockdown di Michigan dilanjutkan sehingga 28 Mei ini.
Setakat ini, Covid-19 telah meragut lebih 3,500 nyawa penduduk negeri tersebut. - Agensi