SHAH ALAM- Foto gelagat Ainul Mardhiah yang sedang bermain ditemani neneknya menarik perhatian netizen yang rata-ratanya terharu melihat kanak-kanak berkenaan aktif.
Foto tersebut dikongsi bapanya, Ahmad Safiuddin di Facebook miliknya hari ini dengan kapsyen,"Antara foto yang sempat dirakam hari ini."
"Gelagat Ainul bersama nenek di awal pagi. Rutin Ainul setiap hari akan tidur pukul tujuh malam sehingga tujuh pagi. Ainul akan tidur 12 jam dan celik juga selama 12 jam,” tulisnya.
Bapanya juga berkata, Ainul jarang sekali akan terjaga pada waktu tidurnya kecuali jika mahu membuang air besar dan beberapa perkara lain.
"Siang memang Ainul tak akan tidur langsung. Ya, kalau bangun tujuh pagi, dari tujuh pagi sampai tujuh malam dia main, dia kacau orang, dia sakat orang suruh dukung dia, kalau tidak dia menangis,” tambahnya.
Ramai netizen meluahkan rasa syukur kerana kesihatan Ainul Mardhiah semakin baik.
"Masya-ALLAH comel dan sihat. Alhamdulillah syukur,” komen Mohd Radzi Khusen.
Ainul Mardhiah yang sebelum ini terlibat dengan pembedahan membuang tumor di bahagian mulutnya menjadi perbualan ramai dan bayi kesayangan rakyat Malaysia.
Hantaran berkenaan mendapat 15,000 tanda suka, 611 komen dan 906 perkongsian semula.