BANK Negara Malaysia (BNM) menegaskan pihaknya tidak membuat pusingan U berhubung penyediaan moratorium semasa wabak Covid-19 yang diperkenalkan pada 25 Mac lalu.
Pengarah Jabatan LINK dan Pejabat BNM, Datin Arlina Ariff berkata, kenyataan yang dikeluarkan kelmarin bertujuan mengingatkan peminjam tentang keperluan Akta Sewa Beli 1967.
"Isu ini meletus selepas kami mengingatkan tentang keperluan akta berkenaan yang menuntut peminjam bersetuju dengan penangguhan bayaran selama enam bulan.
"Kami sedar ia akan menjejaskan peminjam namun perkara ini perlu dilakukan sebaik mungkin untuk menghormati keperluan Akta Sewa Beli 1967,” katanya pada sidang media secara dalam talian hari ini.
Arlina berkata, apa yang dilakukan semalam adalah langkah tambahan bagi memastikan moratorium yang diperkenalkan memenuhi keperluan Akta Sewa Beli 1967.
"Kami perlu memastikan penyediaan moratorium dilakukan dengan betul, tidak jejaskan peminjam dan ikut keperluan akta,” katanya.
Dalam pada itu, beliau sekali lagi menjelaskan peminjam tidak perlu memohon moratorium selama enam bulan.
ARTIKEL BERKAITAN: BNM perjelas kekeliruan berhubung moratorium
Sebaliknya, katanya, peminjam hanya perlu melengkapkan dokumentasi berkaitan kemudahan berkenaan dan mendapatkan nasihat daripada bank apa yang perlu dilakukan selanjutnya.
"Dalam waktu sukar ini, moratorium sangat penting untuk menyelesaikan masalah aliran tunai peminjam yang terjejas akibat penularan koronavirus (Covid-19).
"Sebagaimana kenyataan BNM pada 25 Mac, peminjam dinasihatkan bahawa faedah pinjaman dan keuntungan akan terakru terhadap penangguhan pembayaran enam bulan,” katanya.
Menurut beliau, nasihat telah diberikan kepada orang ramai untuk menentukan sama ada mereka mahu mengambil penangguhan berkenaan atau sebaliknya.
Kelmarin, BNM meminta institusi perbankan mengambil langkah yang perlu bagi memastikan peminjam diberikan maklumat yang jelas mengenai proses dan perubahan terhadap syarat perjanjian mereka.
Institusi perbankan juga perlu menetapkan cara paling sesuai dan mudah untuk memuktamadkan perjanjian tersebut dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sementara itu, Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) menjelaskan peminjam sewa beli diberikan dua pilihan.
Pertama, mereka perlu membayar penangguhan ansuran terkumpul enam bulan bersama ansuran Oktober 2020 tanpa dikenakan faedah tambahan.
Kedua, mereka yang mengambil moratorium enam bulan boleh meneruskan pembayaran ansuran selepas Oktober 2020 dengan lanjutan enam bulan tempoh bayaran balik selepas tarikh matang.