KELAB Wartawan Kuala Lumpur dan Selangor (KamiKLS) menganjurkan Program Dapur #KLS sepanjang bulan Ramadan ini khusus untuk para petugas media.
Menurut Presiden KamiKLS, Wan Syamsul Amly Wan Seadey, pek makanan yang disediakan itu membantu meringankan beban petugas media yang membuat liputan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Ini adalah inisiatif KamiKLS sepanjang Ramadan untuk membantu meringankan beban petugas media kerana kesukaran untuk mendapatkan bekalan makanan terutama pada ketika ini,” katanya di sini semalam.
Dalam pada itu, Wan Syamsul berkata, sebahagian besar perkhidmatan dan penyediaan pek makanan itu diuruskan oleh bekas pengamal media yang sebelum ini terkesan dengan pengecilan operasi syarikat media termasuk yang diberhentikan kerja.
"Sebahagian besar mereka kini menjalankan perniagaan berkaitan makanan secara kecil-kecilan.
"Justeru, inisiatif Dapur #KLS juga diwujudkan bagi membantu kumpulan ini menjana pendapatan tambahan sepanjang Ramadan, apatah lagi sebahagiannya juga ada yang tidak dapat meneruskan perniagaan berikutan arahan PKP yang masih berkuat kuasa,” ujarnya.
Ujar beliau, antara penaja program tersebut ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi dan Timbalan Menteri Alam Sekitar, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad.
Turut menyumbang ialah Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM), Datuk Azman Yusoff dan Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.
Selain itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali dan ahli perniagaan, Datuk Muhamad Najib Samuri juga menyumbang.