SHAH ALAM - Malaysian Communtiy Care Foundation (MCCF) menyarankan agar mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak asasi manusia agar lebih realistik dalam memperjuangkan etnik Rohingya demi masa depan mereka sendiri.
Pengerusinya, Halim Ishak berkata, jika benar mahu membantu mereka maka bantuan itu seharusnya lebih terarah kepada membangunkan masyarakat dan komuniti Rohingya di tempat asal mereka.
"Kita tahu bernilai berbilion ringgit telah disumbangkan setiap tahun kepada etnik Rohingya termasuk dari Saudia Arabia, Qatar dan kesatuan negara Eropah (EU). Malah kerajaan Bangladesh sendiri telah membina penempatan khusus bagi etnik Rohingya di Pulau Bashan Char bagi membina komuniti mereka sendiri di tempat asal mereka.
"Jadi apa yang lebih baik adalah bantu mereka untuk bina semula komuniti di tempat asal mereka dan bukannya menjadikan mereka sebagai pelarian seumur hidup,” katanya menerusi satu kenyataan media di sini semalam.
Dalam pada itu, Halim turut menyifatkan NGO yang menyokong agar etnik Rohingya kekal sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI) di Malaysia adalah sebenarnya telah menggalakkan mereka untuk terus kekal merempat tanpa kemajuan yang positif etnik Rohingya itu sendiri.
Justeru, MCCF mencadangkan agar satu gerakan dapat dilakukan untuk membina semula etnik Rohingya di tempat asal mereka dengan melatih pemimpin mereka untuk mentadbir urus bantuan kewangan yang diterima dari seluruh dunia.
"Malah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga perlu mengatur langkah secara drastik untuk pengurusan penempatan semula masyarakat Rohingya di tempat yang telah disediakan kepada mereka.
"Hentikan penganiayaan berterusan ke atas mereka dengan menggalakkan mereka terus berstatus sebagai pelarian dan PATI di negara orang,” katanya.