SHAH ALAM - Langkah kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilihat sebagai tindakan yang gopoh dan masih terlalu awal.
Menurut bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, langkah yang diambil kerajaan ini bukan bersifat 'soft-landing' kerana 'exit strategy' belum sempat dihayati dan difahami oleh rakyat.
Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) ini berkata, biarpun pelan dan langkah komprehensif telah disediakan namun apa yang direncanakan itu sekadar di atas kertas.
"Pembudayaan amalan 'norma baharu' atau 'new normal' perlu sedikit masa untuk dikempen dan didoktrinkan betul-betul. Masa sebelum 12 Mei diharapkan akan dimanfaatkan sebaiknya, malangnya tiba-tiba 4 Mei ini, semacam sudah 'back to business as usual', ini yang ramai ralat.
ARTIKEL BERKAITAN: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat mula Isnin ini
Hampir semua sektor ekonomi dibuka semula mengikut SOP ketat"Apa pun, jangan selesa dan ambil mudah! Insiden-insiden kes baru dari punca komuniti sendiri (sporadic cases) masih dikesani pada jumlah 'double digits' (57 terkini) dan Selangor tidak terkecuali," katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.
Beliau berkata, semua pihak juga perlu mengamalkan jarak fizikal dan jaga kebersihan, basuh tangan, pakai topeng muka kalau batuk atau selesema.
"Individu dan pemilik syarikat mesti membudayakan ‘norma baharu’ segera, secara berkesan dan konsisten.
"Seperkara lagi, kerajaan negeri dengan kerjasama jabatan kesihatan negeri atau pusat kesihatan daerah mesti mewujudkan pasukan respons pantas yang mampu melaksanakan saringan komuniti bersasar, isolasi dan rawat,” katanya.
Menurutnya, orang ramai sangat ternanti-nanti pengumuman PKP keempat tamat pada 12 Mei, dengan harapan ia benar-benar dapat mengimbangi antara kepentingan menjaga nyawa dan kehidupan.
"Tidak ada siapa yang mahu dikurung lebih daripada yang diperlukan, sementara Kementerian Kesihatan dan petugas barisan hadapan gigih melandaikan keluk epidemik.
"Beban ekonomi, kehilangan pekerjaan, kerugian syarikat dan impak sosial termasuk keganasan rumahtangga serta kemurungan tekanan jiwa, dilaporkan berlaku di seluruh dunia, Malaysia juga tidak terkecuali,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam perutusan khas sempena Hari Pekerja semalam berkata, sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan beroperasi mulai 4 Mei tertakluk kepada syarat dan tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan.