LANGKAWI - Agensi Penyelamat Maritim Malaysia (APMM) menamatkan Operasi Carilamat dua nelayan tempatan yang hilang berhampiran Pulau Segantang dekat sini sejak lima hari lalu pada jam 7.30 petang semalam.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Kepten Maritim Zulinda Ramly berkata, operasi yang dijalankan sebelum ini tidak menemukan sebarang petunjuk dan pihaknya telah memaklumkan kepada pihak berkuasa Thailand mengenai kejadian tersebut.
Menurutnya, dua mangsa dikhuatiri mungkin telah hanyut ke perairan negara jiran.
"Sepanjang lima hari pencarian, tiga aset udara dan tiga aset laut telah kita gerakkan bagi melaksana Operasi Carilamat yang turut dibantu aset laut dari pihak Tentera Laut Diraja Malaysia dan Polis. Bagaimanapun, kita akan teruskan semula sekiranya menemui petunjuk baru," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Hari keempat: Dua nelayan hilang belum ditemui
Dua nelayan hilang dekat Pulau Segantang
Tambah Zulinda, APMM sebagai agensi peneraju Operasi Carilamat di laut menyeru kepada seluruh komuniti maritim supaya sentiasa berwaspada dan menitikberat soal keselamatan ketika berada di laut.
"Komuniti Maritim boleh melaporkan tentang sebarang penemuan di laut atau di pesisir pantai kepada pasukan penyelamat menerusi talian 999 ataupun menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis (Langkawi) di talian 04-9662750 / 04-966 5307," katanya.