Covid-19: Singapura mula longgar syarat

Iklan
Singapura akan melonggarkan beberapa peraturan pemutus rantaian jangkitan wabak Covid-19 secara berperingkat dengan membenarkan aktiviti ekonomi dan perkhidmatan terpilih kembali beroperasi mulai Selasa ini - Foto 123RF

SINGAPURA - Singapura akan melonggarkan beberapa peraturan pemutus rantaian jangkitan wabak Covid-19 secara berperingkat dengan membenarkan aktiviti ekonomi dan perkhidmatan terpilih kembali beroperasi mulai Selasa ini, menurut pasukan petugas pelbagai kementerian mengenai Covid-19.

Ini berikutan negara republik itu menyaksikan penurunan ketara jangkitan dalam komuniti sejak sebulan lalu.

Iklan
Iklan

"Purata jumlah kes baharu harian dalam komuniti menurun lebih separuh iaitu 25 pada minggu sebelumnya kepada 12 kes, minggu lalu,” kata pengerusi bersama pasukan petugas itu, Gan Kim Tong pada sidang media maya di sini hari ini.

Kim Tong yang juga Menteri Kesihatan bagaimanapun berkata, masih terdapat kes yang tiada kaitan dengan komuniti dan kluster baharu jangkitan akan tercetus jika pihaknya leka serta berhati-hati dengan langkah melonggarkan sekatan.

Iklan

Sementara itu, Menteri Pembangunan Nasional, Lawrence Wong berkata, terdapat rancangan untuk membuka semula premis pekerjaan dengan mengambil kira kepentingan ekonomi dan rantaian bekalan, peluang pekerjaan bagi rakyat tempatan dan kemampuan mengurangkan risiko jangkitan di tempat kerja.

Sehubungan itu katanya, pasukan petugas itu sedang melakukan persediaan untuk pembukaan semula aktiviti ekonomi dan komuniti secara berperingkat selepas berakhir tempoh pemutus rantaian jangkitan pada 1 Jun ini.

Iklan

Misalnya, katanya, pengamal perubatan tradisional Cina dibenarkan untuk menyambung semula khidmat akupunktur mulai Selasa ini manakala penduduk di bangunan kediaman berstrata dibenarkan untuk melakukan aktiviti senaman di tempat umum dalam kawasan bangunan dengan mengamalkan penjarakan sosial.

Bagaimanapun katanya, semua kemudahan rekreasi dan sukan dalam kawasan perumahan swasta seperti taman permainan, kolam renang, gimnasium dan rumah kelab masih ditutup.

Beliau berkata, perniagaan makanan secara kecil-kecilan dari rumah, cawangan kedai makanan, perkhidmatan dobi, kedai gunting dan pendandan rambut dibenarkan beroperasi mulai 12 Mei ini.

Selain itu, pelajar yang akan menduduki peperiksaan nasional, bakal menamatkan pengajian dan pelajar pendidikan teknikal boleh kembali ke sekolah secara kumpulan kecil mulai 19 Mei ini.- Bernama