KUALA LUMPUR - Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menafikan beliau melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan menunaikan solat tarawih berjemaah bersama enam kakitangan kementeriannya, malam Khamis lalu.
Jelasnya, solat berjemaah di rumah dan tempat kerja bukan perkara yang dilarang di bawah PKP dan tidak melanggar prosedur operasi standard (SOP).
Menurutnya, yang tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKP adalah solat berjemaah di masjid dan surau kerana ia termasuk dalam kawalan undang-undang.
"Saya terbaca dalam Facebook, ada yang kata saya langgar PKP kerana solat tarawih di pejabat dengan enam orang makmum. Ada kawan saya panik kalau saya kena denda RM1,000 kerana langgar PKP.
"Saya ucap terima kasih kerana ada peringatan, ingat memperingati itu adalah baik yang penting jangan langgar apa-apa peraturan. Kalau tak sengaja soal lain, tak faham soal lain,”katanya pada sidang media secara live di Facebooknya hari ini.
Annuar berkata, dalam isu berbangkit mengenai solat berjemaah berkenaan beliau menerangkan yang dikatakan melanggar itu bergantung kepada undang-undang.
Katanya, di bawah PKP, undang-undang menetapkan tidak boleh ke masjid dan surau untuk menganjurkan aktiviti.
"Tetapi oleh kerana masjid dan surau tempat ibadat maka diizinkan untuk laung azan, sesudah azan tak akan nak balik rumah jadi solatlah cuma hanya sekadar dua tiga orang itu sajalah untuk menyempurnakan syarat.
"Secara umum premis masjid dan surau diperintahkan di bawah kawalan undang -undang tidak boleh beroperasi, bukan bermakna tidak boleh solat. Disebut untuk solat di rumah, kalau tak boleh tarawih di masjid, tarawih di rumah bersama keluarga,” kata beliau.
Katanya, sama ada solat tarawih di rumah dimestikan hanya tiga orang, ia tidak termasuk dalam undang-undang.
"Rumah saya solat tarawih enam orang, mungkin rumah orang lain tujuh atau tiga atau seorang, itu tak libatkan undang-undang.
"Saya sebagai menteri kena bertugas sepanjang masa termasuk malam, bila malam masuk waktu solat di pejabat tak akan tak sembahyang, kalau masa bulan Ramadan boleh tarawih, kalau saya solat ada staf turut serta tapi dengan cara duduk jarak jauh.
"Itu tak termasuk dalam larangan. Malam itu (Khamis) saya ada program rasmi maka saya solat di pejabat bersama staf, itu tidak melanggar PKP dan SOP,” katanya lagi.