KUALA PILAH - Kisah sebuah keluarga di Kampung Malan, Johol yang hidup serba daif dan tinggal di dalam sebuah khemah seperti mana tular sejak semalam adalah tidak benar.
Difahamkan pasangan suami isteri, Radzuran Ismail, 52, Nazariah Mat Dakim, 47, dan adiknya, Maznah, 40, mempunyai rumah sendiri di Klang hasil sumbangan Pusat Zakat Selangor.
Radzuran berkata, kisah keluarganya seperti ditularkan itu banyak yang tidak benar sehingga menyebabkan keluarganya dikecam oleh masyarakat di luar sana.
"Pihak berkenaan seharusnya berjumpa saya terlebih dahulu bagi mengetahui situasi sebenar sebelum memuat naik sesuatu yang tidak pasti kebenarannya," katanya ringkas ketika ditemui pemberita di kediamannya hari ini.
Sementara itu, Pegawai Daerah Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap yang turut berada di lokasi berkata, terdapat kekeliruan dan salah faham berhubung kisah yang tular itu.
"Radzuran sering berulang alik dari Klang ke Kampung Malan sejak beberapa bulan lalu kerana dia ada menjalankan kegiatan pertanian dan penternakan di sini.
"Bagaimanapun, rumah peninggalan arwah ibu bapanya terbakar pada tahun 2015 menyebabkan Radzuran terpaksa membina pondok sementara untuk berehat dan bermalam," katanya.
Mohd Faizal berkata, pada cuti sekolah Mac lalu dia membawa bersama isteri dan tiga anaknya ke sini serentak dengan itu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diisytiharkan lalu memaksa mereka tinggal di pondok itu sehingga tamat PKP.
"Adiknya Maznah turut berada di sini selepas dibenarkan pulang dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
"Malah keluarga ini juga telah ditawarkan sebuah rumah sewa untuk keselesaan dan kos sewa ditanggung sepenuhnya oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) tetapi keluarga ini menolak dengan alasan sukar untuk menjaga kebunnya,” katanya.
Beliau berkata, pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johol akan membantu menguruskan keluarga ini untuk pulang ke Klang petang ini setelah surat kebenaran merentasi negeri diperoleh.
"Berdasarkan siasatan juga mendapati keluarga ini pernah memohon bantuan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) namun permohonannya bukan dikategorikan sebagai keutamaan selain tidak memenuhi syarat," katanya.
Dalam pada itu, Undang Luak Johol, Datuk Mohammed Abdullah telah hadir menyampaikan sumbangan selain turut dihadiri oleh beberapa agensi kerajaan yang lain.