PENGANJURAN Sukan Para ASEAN 2020 Filipina yang dijadualkan pada 3 hingga 9 Oktober depan dibatalkan susulan impak pandemik koronavirus (Covid-19).
Menurut Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, Pesuruhjaya Sukan Filipina (PSC) mengambil keputusan membatalkan semua acara sukan tahun ini sekali gus menarik balik peruntukan penganjuran sukan berkenaan.
Katanya, pihak MPM mengetahui perkara berkenaan menerusi laporan portal berita Filipina, Mindanao Times, semalam.
"Presiden Jawatankuasa Paralimpik Filipina (PHILAPGOC), Michael Barredo susulan laporan tersebut dalam satu kenyataan kepada media Filipina hari ini akur dengan keputusan itu mengakui kemungkinan besar Filipina tidak menganjurkan temasya berkenaan.
"MPM sebagai ahli gabungan Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) akan memanjangkan perkara ini bagi membolehkan majlis tertinggi APSF mengadakan perbincangan mengenai situasi dan masa depan temasya ini.
"MPM akan mendapatkan respons APSF segera bagi mengetahui status penganjuran Sukan Para ASEAN 2020," katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Pada masa sama, Megat D Shahriman mengakui berita itu mengecewakan atlet para negara dan persatuan sukan selepas melakukan persiapan rapi bagi mengharungi temasya berkenaan.
"MPM menghormati keputusan PSC dan PHILAPGOC jika benar temasya dibatalkan berikutan Covid-19.
"Dalam isu Covid-19 ini aspek keselamatan dan kesihatan atlet dan pegawai kontinjen perlu diberikan keutamaan. Menjadi tanggungjawab MPM untuk menjaga kebajikan dan melindungi nyawa setiap atlet selaku penaung badan persatuan sukan para di Malaysia," katanya.