Pelan MFL beri sinar baharu

Iklan
Foto Facebook JST

PERANCANGAN Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk menyambung semula saingan Liga Malaysia (Liga-M) pada September depan dianggap sinar baharu kepada pasukan-pasukan yang bertanding.

Mereka menyifatkan perancangan yang disusun oleh badan induk itu dalam usaha meneruskan semula Liga Malaysia sejak ditangguhkan pada 16 Mac lalu akibat wabak Covid-19 sedikit sebanyak menjawab persoalan mengenai status saingan domestik musim ini.

Iklan
Iklan

Antara yang menyambut baik perancangan MFL itu adalah Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar yang berharap momentum bola sepak tanah air dapat diteruskan.

"Ini adalah idea yang bagus di mana MFL merancang untuk memulakan semula saingan Liga Malaysia pada September depan. Memang kalau boleh kita mahu bermain lebih awal tapi kita memahami situasi semasa di mana kita juga akur dengan keputusan kerajaan berhubung isu Covid-19.

Iklan

"Apa yang penting sekurangnya-kurangnya liga kita masih dapat diteruskan dan kebajikan pemain, pegawai dan kakitangan pasukan tidak akan hilang sumber pendapatan,” katanya.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Tengku Farouk Husin Tengku Abdul Jalil turut senada menyokong apa juga keputusan MFL sambil menyifatkan semua negara ketika ini terkesan dengan pandemik yang telah berlaku.

Iklan

Justeru, beliau juga percaya apa yang akan diputuskan nanti adalah demi kebaikan untuk semua rakyat Malaysia kerana walaupun hakikatnya pasukan ingin kembali beraksi tetapi kesihatan tetap menjadi keutamaan hakiki.

"Kami menerima segala keputusan nanti dan sudah pasti kita perlu berlapang dada dalam keadaan ini kerana semua negara terkesan dengan kerugian dan kehilangan kemeriahan yang akan berlaku.

"Kita sudah pasti mengharapkan perancangan daripada MFL ini mendapat kelulusan tetapi harapan tinggi juga untuk melihat agar pandemik COVID-19 ini segera pulih,” ujarnya.

MFL semalam mengumumkan perancangan baharu kalendar Liga Malaysia 2020 selepas permohonan mereka untuk menyambung semula saingan Liga Malaysia pada Ogos 2020 dengan sesi latihan pasukan bermula pada Julai 2020 tidak diluluskan menerusi Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Susulan itu, MFL mengeluarkan perancangan baharu dengan menetapkan pertandingan Liga Super, Liga Premier akan bermula pada 1 hingga 2 September 2020 dan akan berakhir pada 26 hingga 27 September 2020 dengan saingan secara separuh liga sahaja.

Kempen Piala Malaysia pula akan berlangsung pada 17 hingga 18 Oktober 2020 hingga 7 November sementara aksi Piala FA dan Piala Cabaran dibatalkan.

Format Piala Malaysia akan dirombak di mana tiada saingan peringkat kumpulan dengan saingan 16 pasukan akan berlangsung secara kalah mati satu pusingan termasuk suku akhir dan separuh akhir.

11 pasukan terbaik Liga Super dan lima pasukan terbaik Liga Premier (kecuali pasukan Reserve Team) yang layak beraksi dalam saingan Piala Malaysia akan diundi untuk menentukan perlawanan awal dan juga pasukan tuan rumah.