IPOH - Seramai 162 pasangan di negeri ini selamat dinikahkan menerusi Tatacara Khas Majlis Akad Nikah (TKMAN) diperkenalkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, daripada jumlah itu, Ipoh merekodkan pasangan paling ramai iaitu 38 pasangan diikuti Teluk Intan (21) dan Taiping (20) sejak ia dimulakan, 22 April lalu.
Menurutnya, tatacara yang dijalankan di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) seluruh negeri itu turut mencatatkan 13 pasangan berkahwin di Selama, Bagan Serai dan Tapah masing-masing 12 manakala Parit Buntar 10 dan Batu Gajah (9).
"Kawasan-kawasan lain seperti Bagan Datuk setakat ini melibatkan enam pasangan, Mualim (5), Kampung Gajah dan Gerik (4), Seri Iskandar dan Lenggong (3), Pengkalan Hulu dan Kampar masing-masing satu pasangan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Yusop berkata, setakat ini pihaknya tidak berdepan sebarang masalah dalam mengendalikan tatacara baharu itu.
Katanya, kaedah sama akan diguna pakai ke atas semua pasangan pengantin yang mahu bernikah sepanjang tempoh PKP dikuatkuasakan.
"Semuanya berjalan lancar mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," kata beliau.
TKMAN dijalankan sebanyak tiga sesi sehari pada setiap Isnin, Rabu dan Jumaat.
Ia hanya boleh dihadiri seorang jurunikah, dua saksi, seorang pengantin lelaki, seorang pengantin perempuan dan seorang wali dari pihak pengantin perempuan, dilangsungkan di PAID.
Tiada berjabat tangan ketika lafaz ijab dan qabul, upacara lain seperti membatalkan air sembahyang, sarung cincin dan bergambar juga tidak dibenarkan.
Difahamkan, terdapat lebih 300 pasangan telah menyatakan persetujuan untuk bernikah melalui tatacara berkenaan.