KUALA LUMPUR - Keputusan kerajaan membenarkan hampir kesemua sektor ekonomi beroperasi semula mulai esok bukanlah bermakna semua operasi perniagaan perlu dibuka esok dan dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.
Beliau berkata, semuanya bergantung kepada majikan sama ada hendak memulakan operasi esok atau selepas tamatnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa keempat iaitu pada 12 Mei.
"Kita (kerajaan) bagi tarikh esok untuk memulakan operasi sebab tidak mahu situasi meledak secara tiba-tiba pada (selepas) 12 Mei nanti. Jadi lebih baik diberi keizinan ini dalam waktu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.
"Justeru, esok bukan bermakna semuanya (perniagaan) berjalan tetapi kita memberi tarikh untuk peniaga, kilang atau syarikat sebagai persediaan untuk berjalan (beroperasi) memandangkan mereka perlu patuh prosedur operasi standard (SOP) yang ketat,” katanya yang hadir sebagai tetamu pada program Borak Kopitiam di siaran TV3 hari ini.
Menurut Saifuddin, ini berikutan bukan mudah sesebuah perniagaan hendak mula beroperasi semula memandangkan setiap sektor ada SOP tersendiri yang perlu dipatuhi.
"Ini termasuklah mereka perlukan masa menyediakan keperluan untuk mematuhi SOP seperti menyediakan cecair pembasmi kuman, topeng muka serta melatih pekerja mereka mengenai SOP yang disyaratkan," katanya.
Saifuddin berkata, apa yang penting masyarakat terutama peniaga dan pekerja perlu ingat bahawa PKP masih belum berakhir dan semuanya bergantung pada diri sendiri.
"Jadi, kalau perlu pergi kerja, pergilah tetapi kena ingat kita masih dalam PKP. Buatlah kerja dengan penuh teliti dan berjaga-jaga. Ikut SOP yang ditetapkan,” katanya.
Ditanya seandainya PKPB tidak berjalan seperti yang dirancang, Saifuddin menjelaskan kerajaan siap sedia dengan sebarang kemungkinan.
"Keputusan ini (antaranya membenarkan operasi perniagaan dan kepentingan kesihatan) seumpama ditelan mati emak, diluah mati ayah. Jadi, ia dilakukan dengan berhati-hati dan berimbang.
"Jika berlaku lonjakan (kes), wujud kluster tertentu, kita akan isytiharkan kawasan tersebut sebagai zon merah dan hentikan aktiviti di tempat tersebut,” katanya.
Jumaat lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan akan melaksanakan PKPB bagi membolehkan sebahagian sektor ekonomi dan sosial dibuka semula mulai esok (4 Mei).
Beliau berkata, kerajaan sedia membuka semula aktiviti ekonomi secara terkawal dan berhati-hati di bawah PKPB dengan sektor yang akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat dan SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. - Bernama