SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Astro Malaysia Holdings Bhd (Astro) telah bersetuju untuk bekerjasama bagi menyiarkan Slot Program TV Pendidikan di saluran Tutor TV, Astro.
KPM berkata, kerjasama itu merupakan tambahan kepada siaran slot TV Pendidikan yang kini bersiaran di saluran TV Okey, Radio Televisyen Malaysia (RTM) bermula 6 April 2020.
Menurutnya, inisiatif itu bertujuan untuk meningkatkan akses murid kepada bahan pembelajaran melalui platform alternatif selain daripada pembelajaran dalam talian.
"Pendekatan ini akan dapat membantu murid yang tidak mendapat capaian internet mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dari rumah semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pasca PKP.
"Slot TV Pendidikan di saluran Tutor TV, Astro akan mula bersiaran pada 4 Mei 2020 dan akan disiarkan selama dua (2) jam pada setiap Isnin hingga Jumaat,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Tambah kenyataan itu lagi, waktu siaran program terbabit bermula pada jam 10 pagi hingga 11 di saluran 601 dan 11 pagi hingga 12 tengah hari menerusi saluran 603.
Katanya, rancangan berkenaan akan diulang siar pada jam tiga hingga empat petang di saluran 601 dan jam empat hingga lima petang di saluran 603 pada hari yang sama.
"Selain itu, program ini juga dapat ditonton secara percuma pada bila-bila masa menerusi aplikasi Astro GO yang boleh dimuat turun menggunakan peranti dengan sistem pengoperasian Android dan iOS.
"Jadual rancangan boleh didapati dengan melayari portal rasmi KPM di www.moe.gov.my atau di media sosial rasmi KPM iaitu Facebook, Instagram dan Twitter @KemPendidikan,” katanya.
Justeru, KPM yakin bahawa melalui kerjasama dengan Astro ini akan memberi manfaat kepada murid, guru dan ibu bapa bagi membolehkan proses PdP dilaksanakan dengan lebih meluas terutamanya dalam keadaan yang mencabar pada masa ini.