Majikan di zon merah, kuning digalak buat saringan Covid-19

Iklan
Seorang orang awam sedang menjalani saringan Covid-19 di daerah yang dikategorikan sebagai zon merah. (Gambar kecil: M Saravanan )

PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Manusia amat menggalakkan semua majikan terutama yang beroperasi di zon merah dan kuning koronavirus (Covid-19) supaya memastikan pekerja mereka menjalani saringan Covid-19.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, ujian Covid-19 untuk pekerja dilaksanakan di bawah Program Saringan Prihatin (PSP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang disediakan secara percuma.

Iklan
Iklan

"PSP Perkeso meningkatkan jaminan kepada pekerja bahawa mereka bekerja di persekitaran kerja yang lebih selamat dan sihat serta bebas Covid-19.

"Dengan adanya kaedah pencegahan yang dipatuhi majikan dan pekerja, negara akan dapat mencegah gelombang baharu jangkitan Covid-19, yang mungkin timbul dari kluster tempat kerja seperti yang dialami di negara lain," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Iklan

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilaksanakan esok yang menyaksikan sektor ekonomi akan dibuka secara terkawal tertakluk kepada syarat dan prosedur yang ketat.

Saravanan berkata, pembukaan semula operasi perniagaan dengan kapasiti 100 peratus kakitangan akan meningkatkan pergerakan pekerja.

Iklan

Jelasnya, pekerja akan berulang-alik ke tempat kerja dan berkumpul di tempat kerja yang boleh meningkatkan risiko penularan Covid-19.

"Sehubungan itu, adalah amat penting bagi semua majikan dan pekerja mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dalam pembukaan semula operasi perniagaan," ujar beliau.

Menurut beliau, keselamatan dan kesihatan pekerja adalah amat penting dalam memastikan semua pekerja kekal sihat sewaktu menjalankan pekerjaan masing-masing.

"Langkah-langkah pencegahan seperti penjarakan sosial ketika berulang-alik ke tempat kerja dan berada di tempat kerja, pemeriksaan suhu badan, penggunaan topeng muka dan mencuci tangan dengan kerap.

"Selain itu, menghindari tempat yang sesak dengan orang mesti dititikberatkan oleh majikan dan memastikan bahawa ianya dipatuhi oleh semua pekerja," katanya.