Syed Saddiq puji keputusan Tok Mat

Iklan
Syed Saddiq menerusi hantaran di Facebook memuji pendirian Mohamad menolak tawaran pelantikan untuk menerajui TNB

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memuji tindakan Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan yang menolak pelantikan bagi menerajui Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerana mahu menumpukan perhatian kepada parti.

Beliau berkata, pendirian Mohamad atau Tok Mat menolak tawaran jawatan itu bukan sesuatu yang menghairankan kerana itu sikap sebenar pemimpin berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sumbangan Mohamad kepada parti serta politik negara tidak boleh dinafikan kerana banyak memberi manfaat dalam politik negara.

Syed Saddiq berkata, sejak kebelakangan ini, beliau melihat ramai ahli politik yang menyokong penubuhan Perikatan Nasional (PN) diberi jawatan dan dilantik memegang posisi di dalam syarikat berkaitan kerajaan, agensi pusat dan negeri.

Iklan

Katanya, kebanyakan mereka menerima tawaran tersebut tetapi berbeza dengan Mohamad yang memberi tauladan terbaik kepada dunia politik terutama membabitkan prinsip dan integriti.

"Saya percaya ini permulaan yang sukar untuk politik khidmat di negara kita.

Iklan

"Jarang sekali ahli politik menolak bentuk tawaran sebegini, lebih-lebih lagi tawaran dari syarikat yang besar dan utama di negara kita datang dengan begitu banyak kelebihan.

"Selain bayaran asas, tawaran tersebut juga datang dengan elaun mesyuarat, elaun kereta, elaun elektrik, dan lain lain lagi....Kalau prinsip ahli politik dikaburi dengan ringgit, pasti tidak akan menolak tawaran yang boleh mencecah lebih RM300,000," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Mohamad mengesahkan beliau menolak pelantikan di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bertujuan memberikan sepenuh tumpuan kepada parti.

Syed Saddiq yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, prinsip nilai dan tanggungjawab ahli politik bertujuan menjaga dan membela kebajikan rakyat.

Beliau berkata, ketika susah bila berdepan dengan krisis ekonomi, ramai ahli politik yang menutup mata dan berlapang dada dengan jawatan dan pangkat.

"Jika prinsip ini tergadai, apa lagi yang tinggal untuk masa hadapan dan generasi berikutnya?

"Saya sokong pegangan Datuk Seri (Mohamad) dalam hal ini. Inilah yang harus saya dan rakan-rakan sejawatan pelajari," katanya.