KLANG - Polis menahan sepasang kekasih ketika Op Covid-19 di sebuah hotel bajet di Pusat Perdagangan Bandar Sultan Suleiman semalam yang beroperasi tanpa kebenaran.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, operasi kira-kira jam 2.30 petang itu disertai penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK).
Iklan
Iklan
Menurutnya, terdapat dua pekerja wanita tempatan yang mengaku sebagai penjaga kaunter hotel dan pemeriksaan lanjut di bilik berasingan mendapati ada tiga pelanggan termasuk sepasang kekasih.
"Polis juga mendapati terdapat seorang lelaki warga Bangladesh yang mengaku penjaga hotel," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, susulan itu kesemua enam individu berusia lingkungan 26 hingga 48 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut.
Katanya, polis turut merampas buku resit hotel dan beberapa rangkai anak kunci bilik hotel untuk siasatan lanjut.
"Kesemua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020," katanya.