Hikmah Ramadan PKP

Iklan

Ramadan kali ini bukan biasa-biasa. Jika tahun sebelum ini Ramadan disambut penuh meriah dengan juadah berbuka puasa dan lauk pauk yang enak di samping ada sahaja jualan bazar Ramadan di sana sini.

Paling ditunggu-tunggu solat sunat tarawih pada malam harinya, dengan sambutan bunyi mercun dimainkan kanak-kanak di luar rumah dan suasana begitu luar biasa sekali.

Iklan
Iklan

Namun sambutan Ramadan kali ini hilang serinya apabila kita berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kita pasti rindu untuk menunaikan solat tarawih berjemaah di masjid selain kemeriahan bazar Ramadan yang menjual pelbagai juadah seperti murtabak, popia, ayam golek dan air pelbagai perisa.

Iklan

Apa pun rakyat usah risau kerana kerajaan memberi jaminan barangan basah dan keperluan asas lain mencukupi untuk menampung permintaan rakyat seluruh negara secara berterusan termasuk sepanjang bulan Ramadan.

Maka inilah masa yang sesuai bukan sahaja ibu atau bapa mahupun mereka yang bujang untuk mengasah bakat masing-masing dalam bidang masakan.

Iklan

Bagi mereka yang lebih selesa membeli makanan di luar, tak perlu bimbang, walaupun bazar Ramadan tidak dibenarkan, perkhidmatan e-bazar tetap ada dengan penghantaran melalui perkhidmatan e-hailing untuk menghantar juadah yang dihendaki.

Apa yang penting perlu kita fikirkan ada hikmah di sebalik PKP pada bulan Ramadan ini, kita tidaklah membazir pada waktu berbuka dengan membeli macam-macam dan makan sampai kekenyangan.

Ia sebenarnya turut memberi manfaat lebih-lebih lagi orang muda, jika sebelum ini bergaul, buka puasa dengan bufet Ramadan bersama kawan-kawan. Lepas iftar pula ada yang sambung sahur beramai-ramai di kedai makan, maka ada yang puasa entah ke mana, solat tarawih pula jarang sekali.

Maka Ramadan pada PKP ini besar hikmahnya, bila duduk di rumah makan apa yang ada, solat pun terjaga.

Kerajaan juga telah mengeluarkan arahan tiada solat fardu dan tarawih berjemaah serta solat Jumaat di masjid dan surau dalam tempoh PKP sejak fasa pertama pada 18 Mac lalu hingga fasa keempat yang bermula 29 April hingga 12 Mei ini.

Maka ketua keluarga sudah pasti teruja apabila buat pertama kalinya ‘dilantik’ sebagai imam solat tarawih.

Namun dalam keterujaan itu bukanlah tugas yang mudah dan memerlukan keyakinan.

Jika selama ini kita hanya mengikut imam di masjid atau surau, namun kali ini para isteri dan seisi keluarga dapat merasai aura suami yang menjadi seorang imam.

Apapun inilah yang perlu diambil bagi meningkatkan lagi tahap keyakinan diri serta memantapkan bacaan solat pada Ramadan PKP kali ini.

Begitu juga aktiviti di jalanan turut lengang apabila tiada sebarang pergerakan rentas negeri yang dibenarkan dan kerajaan menetapkan orang ramai tidak boleh pulang ke kampung untuk menyambut puasa sepanjang PKP bagi menyekat penularan Covid-19.

Namun di sebalik keadaan ini, waktu yang ada harus digunakan sebaiknya untuk beribadat dan solat tarawih berjemaah bersama keluarga di rumah.

Ini secara tidak langsung mengeratkan lagi hubungan yang selama ini mungkin agak renggang dek kesibukan tugas harian masing-masing.

Apapun yang berlaku kini kerajaan sudah berusaha sehabis baik bagi memerangi pandemik Covid-19 ini dan dua angka yang menunjukkan kes melibatkan mereka yang dijangkiti juga menunjukkan satu perubahan yang positif bahawa wabak ini semakin terkawal di Malaysia.

Jadi teruslah bertahan, duduk diam-diam di rumah kerana kita sudah hampir untuk mencapai kejayaan.

Anggaplah bulan Ramadan kali ini bukan sahaja perjuangan kita untuk menentang nafsu, lapar dan dahaga, tetapi juga perjuangan menentang virus Covid-19 yang telah meragut banyak nyawa bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia.

* Rosalwani Che Soh @ Yusoff ialah Wartawan Sinar Harian Meja Mahkamah/Jenayah