BRUSSELS - Negara Eropah bersedia untuk melonggarkan sekatan yang dilaksanakan bagi membendung penularan koronavirus (Covid-19) berikutan ancaman pandemik itu semakin perlahan selepas ia meragut lebih 244,000 nyawa dan menjangkiti 3.4 juta orang di seluruh dunia.
Beberapa negara di Eropah dan negeri di Amerika Syarikat (AS) seperti Florida telah mula meredakan sekatan untuk memulihkan semula ekonomi yang terjejas teruk akibat penutupan operasi kebanyakan sektor selama beberapa minggu.
Di Itali, negara yang sebelum ini mencatatkan jumlah kematian kedua tertinggi di dunia dan melaksanakan lockdown selama dua bulan akan mula melonggarkan sekatan dengan membenarkan pembukaan semula restoran untuk makanan bawa pulang dan kedai borong bermula hari ini.
Hungary juga mengambil langkah sama dengan membuka semula beberapa premis perniagaan, hotel dan pantai, namun sekatan itu dikekalkan di Budapest yang merekodkan kira-kira 70 peratus daripada kes keseluruhan Covid-19 di negara itu.
Sementara itu, Jerman akan mula meredakan sekatan bermula minggu ini dengan pembukaan semula sekolah di beberapa kawasan diikuti Slovenia dan Poland yang membenarkan beberapa operasi perniagaan dan ruang umum beroperasi kembali.
Sementara itu, Perancis memaklumkan ia akan melonggarkan sebahagian langkah lockdown pada 11 Mei ini.
Kelmarin, penduduk di Sepanyol telah dibenarkan untuk melakukan aktiviti fizikal dan keluar dari rumah selepas kerajaan meredakan lockdown ketat selama tujuh minggu di negara itu yang menjadi salah sebuah negara di Eropah yang mencatatkan kematian lebih 25,000 orang.
Perkembangan terbaharu itu bagaimanapun mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pakar kesihatan yang khuatir dengan gelombang kedua wabak itu jika orang ramai gagal meneruskan langkah penjarakkan sosial dan pemakaian topeng muka. - AFP