SUBANG JAYA - Seorang penjenayah bersenjatakan sepucuk pistol melarikan wang tunai dianggar berjumlah RM40,000 dari sebuah bank di Jalan SS19/6 Subang Jaya, di sini, hari ini.
Ketua Polis Subang Jaya, Asisten Komisioner Muhammad Azlin Sadari berkata, dalam kejadian jam 3.33 petang itu, suspek mengambil masa tiga minit untuk merompak bank tersebut.
Menurutnya, ketika kejadian, terdapat enam kakitangan bank sedang bertugas selain empat pelanggan sedang berurusan di kaunter.
"Suspek yang berpakaian serba gelap dan berpenutup muka itu meluru ke kaunter sebelum mengugut kakitangan bank untuk memasukkan wang ke dalam beg yang dibawanya.
"Kakitangan bank terbabit bagaimanapun enggan mengikut arahan sebelum suspek melepaskan satu das tembakan yang mengenai siling bank," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Muhammad Azlin berkata, tiada pengawal keselamatan bertugas di dalam bank berkenaan ketika kejadian.
Katanya, suspek yang berjaya mendapatkan wang tersebut kemudian terus melarikan diri dan menuju ke lorong belakang premis berkenaan.
"Siasatan masih dijalankan bagi memburu suspek berkenaan. Kita akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan premis dan percaya akan dapat mengesan suspek dalam masa terdekat," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat (FIPA) 1971.