PASIR PUTEH - Terbaring sehingga tertidur atas jalan dek kerana kepenatan. Itu antara kenangan yang masih segar dalam ingatan Pegawai Pertahanan Awam Pasir Puteh, Kapten (PA) Nik Mohd Nor Nik Mat sejurus selesai melakukan kerja-kerja membersihkan tiga batang pokok yang tumbang di belakang asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamil di sini pada hari keenam umat Islam menjalani ibadah puasa pada tahun 2017 lalu.
Sungguhpun empat tahun kejadian itu sudah berlalu, Nik Mohd Nor mengakui itu antara salah satu tugas yang disifatkan cukup mencabar sebagai anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
"Ketika itu dalam keadaan hujan renyai-renyai, saya bersama lima anggota termasuk tiga wanita telah turun ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja membersihkan tiga batang pokok yang telah tumbang dipukul ribut pada sebelah malam.
"Saya yang bertindak sebagai pemotong bersama anggota telah memulakan tugas tepat pada jam 11.30 pagi selepas tidak dapat melakukannya pada waktu malam ekoran pokok tersebut menghempap wayar elektrik sehingga menyebabkan seluruh bandar Pasir Puteh bergelap.
"Jadi pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) terpaksa memotong bekalan elektrik itu terlebih dahulu sebelum APM dapat melaksanakan tugasan selebihnya," katanya.
Menurutnya, kerja-kerja memotong pokok tumbang tersebut perlu dilakukan dengan penuh berhati-hati bagi mengelakkan sebarang risiko disebabkan oleh faktor cuaca ketika itu.
Katanya, selain faktor cuaca, beliau dan anggota turut berdepan dengan cabaran berpuasa ketika mengendalikan kes tersebut.
"Tugas mengendalikan mesin penebang memerlukan tenaga dan kemahiran yang tinggi sehingga saya terpaksa mengerah keringat 'jantan' untuk berbuat demikian bagi memastikan misi itu berjalan lancar.
"Saya dan lima lagi anggota mengambil masa selama empat jam untuk membersihkan sebatang pokok serai kayu yang bersaiz dua pemeluk dan dua batang pokok getah yang tumbang itu," katanya.
Nik Mohd Nor berkata, sejurus sahaja tugas itu selesai dia terus 'tumbang' dan terbaring di atas jalan tar bagi menghilangkan rasa penat selepas empat jam bertarung membersihkan tiga batang pokok itu.
"Ketika itu saya teramat penat dan tidak fikirkan soal selesa atau tidak. Janji dapat berehat buat seketika untuk menghilangkan rasa penat.
"Alhamdulillah, hasil kerja sebagai satu pasukan misi itu dapat dilaksanakan dengan sempurna. Segala penat lelah itu seolah-olah 'dibayar' apabila melihat laluan itu dapat digunakan semula," katanya.
Menurutnya, dia sendiri tidak menyangka dapat mengharungi 'ujian' itu dengan jayanya selepas terpaksa berdepan dua cabaran besar iaitu faktor cuaca dan berpuasa.
Katanya, dia berharap seluruh anggota APM dapat mempamerkan semangat waja dan sentiasa tenang setiap kali menjalankan tugasan walaupun sering terdedah dengan risiko.