PENGUMUMAN Perdana Menteri untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu lagi bagi mengekang penularan Covid-19 di Malaysia disambut dengan pelbagai reaksi oleh masyarakat.
Ada yang menyokong langkah itu tetapi ada yang sebaliknya, dengan masing-masing mempunyai hujahan tersendiri. Fasa ini merupakan fasa keempat PKP yang bermula sejak 18 Mac lalu.
Bagi individu yang kurang bersetuju dengan langkah penerusan PKP, antara hujahan mereka ialah kes jangkitan dan kadar kematian akibat Covid-19 telah menurun dengan ketara, justeru PKP wajar ditamatkan.
Ada yang menggunakan alasan ekonomi iaitu lebih lama PKP diteruskan, ia akan memberi kesan ketara kepada pendapatan sebahagian masyarakat khususnya yang ‘bekerja sendiri’ seperti penjual nasi lemak dan goreng pisang selain menjejaskan ekonomi negara.
Namun, penerusan PKP itu adalah satu langkah bijak oleh kerajaan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan melihat kepada dua faktor. Pertama ialah faktor luaran. Jiran terdekat Malaysia seperti Singapura dan Indonesia sedang bergelut dengan peningkatan kes jangkitan dan kematian akibat Covid-19.
Kealpaan kita dalam hal ini tidak mustahil menyebabkan jumlah kes di negara ini akan kembali meningkat akibat masyarakat bebas bergerak seperti biasa, antaranya melancong ke negara yang dilanda wabak, apatah lagi negara yang boleh dihubungi melalui jalan darat seperti Singapura dan Thailand yang mudah diakses.
Faktor dalaman pula ialah ‘tradisi’ dan ‘budaya’ rakyat negara ini yang suka berkumpul sesama ahli keluarga, rakan sekerja mahupun jiran tetangga. Penarikan PKP akan mendedahkan masyarakat kepada jangkitan wabak melalui kunjungan dalam skala yang besar dan tidak terkawal, antaranya ke bazar Ramadan, berjemaah tarawih di masjid malahan ke pasar raya untuk persiapan Aidilfitri.
Ini ditambah lagi dengan budaya balik kampung beramai-ramai, apatah lagi selepas ‘terkurung’ beberapa minggu untuk melepaskan rindu pada ahli keluarga yang lain ditambah lagi dengan sambutan Ramadan yang meriah dengan tradisi berbuka puasa bersama ahli keluarga dengan pelbagai juadah enak.
Faktor lain yang juga tidak boleh diketepikan adalah kemungkinan wujudnya kluster baharu seperti pergerakan besar-besaran pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) untuk pulang ke kampung dan jangkitan dalam kalangan warga asing (terdiri daripada kumpulan pelancong, pekerja asing, golongan pelarian dan pemohon suaka (asylum seeker) yang mana sehingga 16 April sebanyak 601 kes positif Covid-19 direkodkan iaitu satu jumlah yang tinggi.
Selain itu, yang paling membimbangkan ialah potensi jangkitan daripada mereka yang ‘tiada tanda’ iaitu individu yang dijangkiti namun tidak menunjukkan simptom/gejala. Kesemua ini merupakan ‘bom jangka’ yang bakal meledak jika PKP ditamatkan segera.
Jangkitan
Buat masa ini selagi vaksin bersesuaian belum ditemui, PKP ialah kaedah paling berkesan untuk mengekang jangkitan wabak. PKP fasa satu dan dua, misalnya, telah berjaya meratakan puncak lengkungan Covid-19 di negara ini dengan kebolehjangkitan dalam komuniti turut mencatatkan pengurangan.
RO (R-Naught iaitu kadar kebolehjangkitan) sebelum pelaksanaan PKP adalah kira-kira 3.55, yang mana seorang individu boleh menjangkiti seramai 3.55 orang tetapi dengan pelaksanaan PKP yang berterusan, didapati selepas 14 April kadar RO telah berjaya dikurangkan kepada kurang daripada satu.
Justeru, melihat kejayaan daripada ketiga-tiga tahap PKP ini (fasa satu hingga tiga) ternyata ia berjaya mengawal dan meratakan lengkungan serta mengawal penambahan kes jangkitan Covid-19 di Malaysia.
Maka, langkah melanjutkan PKP sehingga fasa empat ini adalah langkah yang bijak dan selaras dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) agar setiap negara melanjutkan tempoh memerangi Covid-19.
Sehingga 17 April, jumlah kumulatif kes jangkitan di seluruh dunia kini melebihi 3.5 juta orang dengan jumlah keseluruhan kematian melebihi 244,000.
Melihat kepada situasi global, serantau dan nasional, PKP wajar diteruskan kerana kejayaan cemerlang yang ditunjukkan dalam mengekang wabak, merendahkan kadar kematian selain kadar pemulihan paling tinggi di dunia.
Kita sebagai rakyat haruslah bersabar sehinggalah kadar jangkitan mencecah sifar atau sekurang-kurangnya pada kadar yang sangat minimum, terkawal dan diyakini selamat untuk kesejahteraan rakyat seluruhnya.
Bak kata pepatah ‘biar lambat, asalkan selamat’ kerana pencegahan wabak ganas ini hanya bergantung kepada ‘kita’ sebagai ‘instrumen’ paling ampuh dan berkesan dalam memutuskan rantaian jangkitan.
*Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia, Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia