PUTRAJAYA - Siapa sangka cara kerja anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut terkesan kerana pandemik koronavirus (Covid-19).
Selain menangani kecemasan memadam kebakaran dan menyelamat mangsa kemalangan tidak mengira tempat, mereka juga menjadi petugas barisan hadapan dalam memutuskan rantaian Covid-19.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, kes kebakaran, menyelamat kemalangan jalan raya dan di air, kemalangan domestik serta industri tetap perlu direspons segera walaupun dalam tempoh Covid-19.
Di sinilah timbul cabaran baharu bagi anggota berceloreng oren itu, bagaimana memastikan keselamatan diri dalam melaksanakan penugasan kecemasan harian dan cabaran penugasan Covid-19?
"Dari segi kes kecemasan untuk menyelamatkan mangsa kita tidak tahu sama ada mangsa yang ingin diselamatkan itu ada gejala Covid-19 atau sebaliknya. Sebab itu anggota JBPM perlu ada perlindungan maksimum walaupun ia kes kecemasan biasa.
"Sebab itulah dengan adanya perlindungan diri dan SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan perlu dipatuhi setiap anggota JBPM apabila terlibat operasi Covid-19 kerana penugasan mereka tidak seperti dahulu lagi,” katanya kepada Bernama di sini.
Kini, apabila bomba menerima kes kecemasan harian ia memerlukan mereka memakai peralatan perlindungan diri (PPE) walaupun berdepan dengan kes kecemasan biasa.
Mohammad Hamdan berkata, sebagai contoh untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam kemalangan jalan raya atau kebakaran, pihaknya perlu memakai pelindung muka, penutup hidung dan mulut serta sarung tangan.
"Apabila mereka pergi operasi mereka perlu membuat proses nyah cemar sendiri iaitu dari kasut sehingga ke tangan malah latihan kebakaran dalam kawasan balai serta kelas latihan bomba memerlukan penjarakan sosial atau secara dalam talian.
"Ini merupakan cabaran dan sesuatu yang baharu bagi anggota JBPM kerana Covid-19 bukan satu kes kecemasan biasa yang selalu dihadapi mereka,” katanya.
Beliau berkata, ia bukan suatu yang mudah untuk dilakukan kerana perlu banyak latihan dan melibatkan kos tinggi khususnya daripada aspek logistik JBPM. - Bernama