TELFORD - Seorang lelaki penghantar barangan dibuang kerja kerana membuang air kecil di hadapan pagar rumah pelanggannya ketika membuat penghantaran.
Perbuatan tidak senonoh itu dirakam menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) dan tersebar luas di media sosial.
Pelanggan tersebut, Duncan Spoor dan isterinya, Jackie berasa jijik melihat perbuatan penghantar barang berkenaan.
Menurut Mirror, video berkenaan memaparkan lelaki itu menghampiri pintu bersama bungkusan penghantaran lalu meletakkannya di hadapan pintu.
Dia kemudiannya berjalan menuju ke arah pagar rumah sebelum membuat tindakan jijik berkenaan.
Setelah itu, dia bergegas menuju ke arah van dan meninggalkan tempat kejadian.
"Adakah ini penghantaran normal dari syarikat ini?" tulis Duncan Spoor dari Telford berkongsi video berkenaan di laman sosial Facebook.
Dalam hantaran sama, Spoor turut menjelaskan ciri-ciri pemandu dan van berkenaan serta syarikat yang terlibat.
Jackie pula mengakui terkejut melihat lelaki berkenaan memegang alat sulitnya dan terus memandu membuat penghantaran lain tanpa membasuh tangan terlebih dahulu.
"Saya berasa kesian kepada orang yang menerima bungkusan penghantaran selepas saya," jelasnya.
Seorang jurucakap syarikat terlibat berkata, pekerja berkenaan telah dipecat.