Sekatan jalan raya di Pulau Pinang dikurangkan

Iklan
Keadaan di Pasar Bayan Baru pagi tadi yang didapati terkawal tanpa pembeli berpusu-pusu seperti yang ditularkan sebelum ini.
GEORGETOWN - Polis mengurangkan hampir separuh daripada sekatan jalan raya di seluruh Pulau Pinang bermula hari ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abdul Manan berkata, jumlah keseluruhan sekatan jalan raya di Pulau Pinang sebelum ini adalah 44 dan ia dikurangkan sehingga 24 sahaja.

Menurutnya, pihaknya akan mengatur semula struktur pengoperasian sejajar dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan dilaksanakan di Pulau Pinang pada 8 Mei ini.

"Sebelum ini kita ada 44 sekatan jalan raya di kesemua daerah, namun bermula hari ini, sebanyak 20 dikurangkan menjadikan jumlah keseluruhan sekatan jalan raya hanya 24. Bagaimanapun, kita akan terus mengkaji kesesuaian untuk mengadakan struktur pengoperasian, mungkin akan kurang lagi, pindah lokasi atau tukar kaedah.

"Ketua Polis Daerah akan beri maklum balas dari masa ke semasa selepas kajian kesesuaian dibuat. Selain itu, kita akan tumpu di tempat awam seperti pasar bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakkan sosial dipatuhi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Tambahnya, sehingga hari ini, kadar pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Pulau Pinang mencatatkan 98 peratus.

Sementara itu, tinjauan di beberapa lokasi tumpuan di negeri ini mendapati berada dalam keadaan terkawal.

Trafik di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu yang merupakan jalan utama di kawasan pulau didapati lancar dengan jumlah kenderaan menurun berbanding sebelum ini.

Namun aliran trafik di Jambatan Pulau Pinang dan jalan-jalan menuju ke jambatan dilaporkan sesak, namun pihak berkuasa menjelaskan ia merupakan keadaan biasa selepas beberapa industri dibenarkan beroperasi pada PKP fasa dua dan tiga.

Selain itu, tinjauan di Pasar Awam Bayan Baru pula mendapati keadaan terkawal apabila pihak berkuasa mengawal pintu masuk agar pembeli tidak masuk ke pasar dengan bilangan yang ramai dalam satu masa.

Sementara itu, terdapat peningkatan bilangan kenderaan di jalan raya dan orang awam di tempat awam di pusat bandar.

Bagaimanapun, di beberapa kawasan keadaan lengang kecuali premis makanan yang dibuka hanya untuk pembungkusan makanan sahaja.

Selain itu, tempat rekreasi awam seperti Padang Kota Lama, Persiaran Gurney dan Persiaran Karpal Singh juga lengang.

Dalam pada itu, bilangan kenderaan di Terminal Feri Raja Tun Uda dilihat meningkat dua kali ganda berbanding sebelum ini menyebabkan pasukan keselamatan perlu melakukan pemeriksaan terhadap semua kenderaan.

Semalam, kerajaan Pulau Pinang mengumumkan PKPB hanya akan dilaksanakan di negeri ini pada 8 Mei ini.

Kerajaan negeri akan melaksanakan Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang yang mana PKP sedia ada akan tetap berkuatkuasa seperti biasa hari ini.

Oleh itu, semua aktiviti luar rumah tidak dibenarkan melainkan pekerjaan yang dibenarkan sahaja berikutan PKP masih berkuatkuasa sehingga 12 Mei ini.