Sibuk laksana kerja amal, tolak pelawaan PM Kanada?

Iklan
Sabariah Hussein dan Justin Trudeau.
MOTREAL- KANADA. 'Saya anggap kerja ini ikhlas kerana ALLAH sebab saya tak dibayar dan kerja amal ini adalah percuma'.

Demikian kata-kata Datin Paduka Sabariah Hussein, 70, yang berhijrah ke Kanada kira-kira 32 tahun dan kini terkenal dalam kerja-kerja amal di sana.

Kisah anak kelahiran negeri Johor yang kini menetap di Motreal, lebih mesra dipanggil Sister Sabria mula tular sejak akhir-akhir ini di media sosial.

Bukan itu sahaja, segala aktiviti beliau turut dimuatnaik di Facebook Sister Sabria Foundation.

Dek kehebatan dirinya membawa imej Islam di mata antarabangsa dan terkenal dengan sikap pemurah dalam melaksanakan amal kebajikan, baru-baru ini, Sister Sabria telah menerima jemputan dari Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau.

Memetik portal Kuala Lumpur (KL) Viral, kerana kesibukannya, beliau terpaksa menolak pelawaan itu dan sekali lagi kisahnya mendapat perhatian umum gara-gara penolakan itu.

Setiap hari, beliau akan memasak untuk 300 orang.

Ini termasuklah pada bulan Ramadan untuk diberikan kepada pelajar, gelandangan, pelarian dan jugak kepada golongan wanita yang teraniaya di kawasan apartmennya kat Montreal.

Kerja amal itu akan dibantu oleh sekumpulan sukarelawan pelajar dari universiti tempatan.

Beliau turut membantu memasak makanan untuk lapan buah masjid dan dua buah gereja di Montreal buat golongan miskin dan gelandangan di sekitar kawasan tempat tinggalnya tanpa mengira agama dan bangsa.

Diatas segala usahanya itu, Sister Sabria telah menerima pelbagai anugerah, termasuk Anugerah Inspiratif Wanita pada tahun 2015 dari Majlis Wanita Islam Kanada.

"Saya tidak mencari populariti, saya cuma nak orang tahu yang orang Islam adalah orang baik".

"Orang Islam bukan pengganas yang sering disebut oleh sesetengah pihak," katanya.

Beliau yang membesar bersama 20 adik-beradik berkata didikan ibu bapa yang sentiasa mengajar erti berkongsi rezeki dan kasih sayang membuatkan beliau berasa bertanggungjawab untuk menabur bakti kepada masyarakat.

"Saya adalah anak ketiga dari 6 beradik. 14 orang daripadanya adalah anak angkat.

"Walaupun, ayah hanya bekerja sebagai seorang guru dan tidak mempunyai pendapatan yang tinggi namun beliau sanggup menggalas tanggungjawab itu demi membela nasib adik-adik angkat saya,” katanya.

Kini Sabariah menganggap yang usianya pun dah semakin suntuk untuk membuat kerja amal dan dia berharap agar sumbangan yang dilakukan ini dapat dijadikan inspirasi kepada generasi muda beragama Islam untuk keluar membantu mereka yang memerlukan.

Katanya akan bertanya pada dirinya setiap kali bangun pagi, 'siapa yang akan saya bantu hari ini'?.

Sementara itu, dalam rakaman video itu, Sabariah juga sempat memberitahu, jika ada kesempatan suatu hari nanti untuk bertemu Perdana Menteri Kanada, beliau akan memasak mi goreng gaya masakan Malaysia.

Rakaman tular itu berjaya meraih lebih 6 juta tontonan dari netizen. - KLViral