PUTRAJAYA - Kementerian Pengangkutan sedia meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian atau kecederaan pengguna jalan raya yang lain.
Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam kenyataannya berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah diarah untuk meneliti semula akta tersebut.
"Kementerian Pengangkutan memandang serius isu berkaitan pemandu di bawah pengaruh alkohol, dadah atau memandu secara bahaya yang menyebabkan kemalangan sehingga meragut nyawa pengguna jalan raya yang lain termasuk anggota penguatkuasa yang sedang bertugas," katanya.
Menurutnya, pada masa sama, Seksyen 45 dan 45A yang berkaitan menjaga kenderaan semasa berada di bawah pengaruh minuman yang memabukkan atau dadah dan dengan kepekatan alkohol melebihi had yang ditetapkan masing-masing juga akan diteliti semula.
"Pada ketika ini, Seksyen 44 (1) di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga RM20,00 sekiranya disabitkan dengan kesalahan iaitu di bawah pengaruh dadah dan alkohol," katanya.
Beliau berkata, penelitian pindaan Akta 333 melibatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk JPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Peguam Negara dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).
"Saya ingin menegaskan kepada pemandu agar tidak memandu apa jua jenis kenderaan sekiranya berada dalam keadaan mabuk sebaliknya gunakan perkhidmatan teksi atau e-hailing.
"Ini sekali gus dapat mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak diingini seperti kemalangan jalan raya khususnya melibatkan kematian pengguna jalan raya yang lain," katanya.
Bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berharap kerajaan meneruskan pindaan akta terbabit.
Katanya, sewaktu di bawah tampuk pimpinannya, undang-undang berkaitan pemandu mabuk sedang dalam peringkat penggubalan.
Semalam, seorang anggota polis bertugas di sekatan jalan raya di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), dekat Kajang maut selepas dilanggar pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki mabuk dalam kejadian jam 2 pagi.