SHAH ALAM - Sikap kerajaan PH yang terbuka dan membenarkan kebebasan bersuara mewujudkan persekitaran sihat, bukan mengundang bahana seperti dikhuatiri sesetengah pihak.
Profesor Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata, ini kerana negara mempunyai sistem perundangan sedia ada yang cukup bagi mengekang kejadian di luar kawalan.
"Kebebasan bersuara jelas dalam Perlembagaan, iaitu bebas bercakap, berpersatuan dan berhimpun, tetapi ada syarat dan kekakangannya dari segi keselamatan negara, moral dan sebagainya.
Maknanya kebebasan itu tertakluk kepada undang-undang yang jelas. Kita ada Akta Hasutan, Kanun Keseksaan, Akta Perhimpunan Aman, Akta Berita Palsu dan lain-lain.
Ini menunjukkan bahawa kebebasan itu mutlak, jadi maknanya kalau bebas bercakap, jika tak selaras undang-undang sedia ada, maka (ia adalah) salah.
Cuma dalam keadaan kerajaan memastikan kebebasan itu dapat digunakan sepenuhnya dengan cara terbaik untuk kebaikan negara dan rakyat secara keseluruhannya, maka kadang kala wujud contohnya Akta Hasutan.
Namun selaras dengan perubahan masa, ia bergantung kepada polisi dan pendekatan kerajaan itu (sendiri) sama ada kerajaan itu mengekang kata-kata tertentu atau membenarkannya untuk dibincang secara dialog atau debat terbuka.
Kita sudah punya perundangan yang cukup. Saya lihat ia sebagai satu tindakan secara tarik tali. Maknanya kalau ada kes, tarik (tali itu) balik (gunakan undang-undang). Jadi ada kawalan di situ. Saya rasa itu sesuai dalam keadaan sekarang ini.
Tambahan pula, Malaysia mempunyai kerangka perlembagaan yang jelas dan kita tak boleh menafikan akan wujud golongan yang akan mempersoalkan perkara-perkara tententu.
Saya rasa ia satu perimbangan sihat dari aspek bahawa kita membenarkan kebebasan bersuara itu atas dasar tujuannya untuk menambahbaik keadaan yang sekarang ini.
Dalam kerangka perlembagaan kita yang jelas iaitu kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera, kedudukan istimewa Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama persekutuan dan kebebasan mengamalkan agama masing-masing adalah perkara dasar yang memang tidak boleh diubah.
Kalau perlu (pindaan), perlunya (majoriti) dua pertiga persetujuan di Parlimen, tetapi ada Majlis Raja-Raja yang dapat mempertahankannya.
Maknanya boleh cakap seberapa banyak perkara itu, tetapi ia tetap akan jadi status quo yang tidak boleh diubah sewenang-wenangnya," katanya.