KUALA LUMPUR - Kompleks Kenanga Wholesale City (KWC) mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan membuat pemeriksaan suhu ke atas pekerja dan orang awam yang masuk ke bangunan tersebut hari ini.
Pagi ini, tular suasana orang ramai beratur panjang untuk masuk ke pusat borong pakaian itu yang dibenarkan beroperasi bermula hari ini selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Jumaat lalu.
Menjelaskan situasi tersebut Penolong Pengurus Bahagian Pamasaran dan Pengiklanan KWC, Wendy Lam, kebanyakan yang beratur seperti gambar tular itu terdiri daripada penyewa kedai yang mula menjalankan perniagaan hari ini.
"Kebanyakan penyewa dan pekerja perlu menjalani pemeriksaan suhu dan pengambilan maklumat peribadi seperti ditetapkan SOP KKM.
"Ia melibatkan sebahagian 800 penyewa yang memulakan operasi hari ini yang mengambil masa hampir 3 jam sebelum keadaan kembali seperti sedia kala kira-kira jam 12 tengah hari," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Katanya, pengurusan KWC hanya membuka dua laluan akses ke pusat beli-belah itu sebagai memudahkan kawalan selain mengehadkan jumlah pelanggan dalam kedai mengikut kesesuaian.
"Kami buka pintu utama dan pintu tempat letak kenderaan di tingkat lapan untuk pelanggan sementara pintu belakang dibuka untuk lori menurunkan barang.
"Kami memohon kerjasama penyewa untuk mengawal pelanggan yang masuk ke kedai supaya tidak terlalu sesak dan mengamalkan penjarakan sosial," katanya.
Katanya, jumlah pelanggan yang datang pada hari pertama PKPB sangat kurang berbanding kebiasaan.
"Jika musim perayaan seperti tahun lepas anggaran pelanggan yang datang ke sini ialah 700,000 orang sebulan dengan purata harian antara 20,000 hingga 30,000 bergantung kepada hari biasa dan hujung minggu.
"Sebahagian peniaga juga tidak membuka kedai kerana ada yang datang untuk menyelesaikan urusan pembungkusan barangan pelanggan yang ditempatkan secara online," katanya.
Beliau berharap pelanggan yang mahu membeli barangan di KWC mematuhi SOP KKM dengan mengutamakan aspek keselamatan terutama menggunakan topeng muka dan sanitizer serta mengamalkan penjarakkan sosial.