KUALA LUMPUR - Enam rakan termasuk tiga wanita didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana didapati berkumpul di bilik sebuah hotel dengan alasan mahu berbuka puasa.
Kesemua tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Peraturan 3 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharaan Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.
Kesemua tertuduh lelaki yang bekerja sebagai juruteknik Muhammad Naim Abdul Rahman, 30; Abdullah Ariff Abdullah Karim, 30, dan Mohd Ridhwan Abas, 36 manakala tertuduh wanita, seorang ejen hartanah, Nurul Nadia Farhana Abd Majid, 30; suri rumah, Siti Hadijah Japr, 31 dan pegawai pemantau harga, Siti Sharinah Mohd Sharifin, 33, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nurfarahain Roslan.
Mahkamah turut memerintahkan setiap tertuduh dipenjara empat minggu jika gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan mereka melakukan kesalahan itu di sebuah hotel di Dang Wangi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada jam 9.45 malam, 29 April lalu.
Mereka didakwa mengikut peraturan 6 (1) peraturan yang sama yang membawa hukuman denda RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal mencadangkan mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran agar tidak melakukan kesalahan sama.
Bagaimanapun peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Tan Kim Kiek memohon hukuman ringan dengan alasan anak guamnya menyesal dengan perbuatan tersebut.