SHAH ALAM - Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan yang meminta majikan menanggung kos ujian swab koronavirus (Covid-19) bagi pekerja asing.
Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, sebelum ini kerajaan mengumumkan bahawa Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan menanggung kos ujian Covid-19 menggunakan kit ujian pantas.
Menurutnya, kos yang ditanggung Perkeso itu merangkumi semua pekerja termasuk warga asing.
"Malangnya sehingga ke hari ini, kit ujian yang dikatakan akan diberikan kepada doktor panel itu masih belum diperoleh atau sampai ke negara ini.
"Kita faham tetapi hari ini diminta pula membuat ujian swab, ia sesuatu di luar jangkaan majikan.
"Kementerian Kesihatan sekarang berkemampuan melakukan 16,000 ujian swab sehari dan jika semua 2.3 juta pekerja asing di negara ini perlu menjalani ujian tersebut, ia akan mengambil masa setengah tahun," katanya.
[ARTIKEL BERKAITAN] - Pekerja asing wajib jalani ujian swab: Ismail Sabri
Beliau berkata, keputusan kerajaan meminta majikan menanggung kos ujian swab itu susulan daripada 23 pekerja warga asing di tapak pembinaan Jalan Ampang yang disahkan positif Covid-19.
Menurutnya, kerajaan merumuskan bahawa pekerja asing merupakan pembawa virus terbabit dan perlu menjalani ujian berkenaan.
"Saya merasakan rumusan tersebut tidak berasas dan tidak adil sebenarnya kepada para majikan.
"Kos keseluruhan ujian swab akan mencecah lebih RM1 bilion (2.3 juta pekerja asing).
"Hari ini kita cuba berdiri semula dengan dibenarkan beroperasi walaupun tidak sepenuhnya tetapi apa yang diumumkan itu sebenarnya seperti mencurah air panas kepada kita," katanya.
Beliau berkata, kerajaan sepatutnya memberi perhatian terhadap isu berkaitan pendatang haram kerana pekerja warga asing yang sah mempunyai perlindungan insurans dan dibiayai majikan.